Menjelang perlawanan pembukaan TNB-1 Mas, Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah 14 tahun Lelaki dan Wanita esok, jurulatih skuad lelaki Pahang, Mohd Sufian Mohamad menyuarakan keinginan untuk memastikan pasukannya mampu untuk mengekalkan kejuaraan yang telah dimenangi oleh mereka tahun lalu.
Turun selaku juara bertahan, Pahang yang telah muncul juara pada tahun 2014 dan 2016 melabelkan pasukan seperti Selangor, Sabah, Johor dan Kuala Lumpur mampu untuk memberikan cabaran sengit kepada anak-anak buahnya dalam kejohanan tersebut.
“Kami mensasarkan untuk mempertahankan kejuaraan dan saya dapat melihat beberapa pasukan seperti Selangor, Sabah, Johor dan Kuala Lumpur akan menjadi pencabar terkuat untuk kami bagi mempertahankan kejuaran tersebut.
“Setakat ini saya tidak melihat sebarang tekanan yang tinggi untuk kami kerana perlawanan sebenar masih belum bermula tetapi saya tetap percaya akan ada persaingan yang sengit pada perlawanan itu nanti.
“Kami telah melakukan persiapan yang agak lama jadi saya berharap pasukan bimbingan saya mampu untuk mempertahakan kejuaraan tersebut untuk tahun ini, jelas Sufian ketika sidang media yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Dalam pada itu Sufian turut menyatakan kelibat adik beradik kembar, Muhammad Fazril Lokman dan Muhammad Fazrin Lokman akan menjadi salah satu senjata rahsia bagi pasukannya dan percaya kemantangan dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka akan menjadi kelebihan buat Pahang.
“Kami mempunyai fliker yang cukup baik yang boleh menyempurnakan pukulan sudut penalti dan dari bahagian serangan kami juga mempunyai pemain yang terbaik dan saya mengharapkan pemain-pemain ini nanti akan melakukan tugas mereka dengan sebaiknya.
“Kami mempunyai pemain adik beradik kembar, Fazril Lokman dan Fazrin Lokman di mana Fazril telah meledak empat gol pada tahun lalu dan turut membantu pasukan untuk muncul juara. Jadi saya percaya kematangan serta pengalaman yang dimiliki oleh mereka iaitu pernah beraksi pada tahun lalu akan menjadi satu kelebihan untuk kami,” tambahnya lagi.
Pahang diundi dalam kumpulan A bersama-sama Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis.
Berikut merupakan jadual perlawanan bagi kategori lelaki
Jumaat, (8. Disember 2017), Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
0700: Pahang mln Kelantan (Kumpulan A)
0830: Melaka mln Pulau Pinang (Kumpulan A)
1000: Johor mln Sarawak (Kumpulan B)
1600: Perak mln Selangor (Kumpulan B)
1730: Kuala Lumpur mln Terengganu (Kumpulan C)
1900: Sabah mln Negeri Sembilan (Kumpulan C)
Sementara itu pasukan wanita juga akan turut beraksi esok di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jalan Pantai Kuala Lumpur.
0730: Pulau Pinang mln Negeri Sembilan (Kumpulan C)
0900: Perak mln Kuala Lumpur (Kumpulan C)
1500: Pahang mln Perlis (Kumpulan A)
1630: Singapura mln Kedah (Kumpulan A)
1800: Johor mln Selangor (Kumpulan B)