TNB Dan Matador Menang Besar

Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan rentak cemerlang dengan mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Premier TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025 apabila menewaskan Nurinsafi Sporting 6-0 di Bertam, semalam.   Pada perlawanan itu, TNB yang turun sebagai pasukan pelawat terpaksa menunggu pada suku kedua untuk merobek gawang tuan rumah pada minit ke-28 menerusi jaringan gol padang Norsyafiq Sumantri.   Bersambung suku ketiga, TNB terus menggandakan jaringan bermula dengan ledakan gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-32, disusuli Muhammad Firhan Ashaari di m-36 juga gol padang.   Enam minit kemudian, giliran Jang Jong Hyun mencetak nama sebagai penjaring menerusi pukulan sudut penalti.   Memasuki suku keempat, Muhammad Azrai menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-55 menerusi gol padang dan Wan Haziq Hishamuddin Wan Ameer Ruzman menutup malam cemerlang TNB dengan gol keenam buat skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin.   Terdahulu satu lagi aksi, menyaksikan Matador Hockey Club yang kembali diperkuatkan dengan lapan pemain import mereka mencatat kemenangan 5-2 ke atas Armed Forces HT di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai.   Pada aksi itu, lima gol Matador Hockey Club masing-masing disumbang oleh Abdul Hannan Shahid yang meledak dua gol manakala Abdul Waheed Ashraf Rana, Irfan Raziq Syakir Mohd Ridzuan dan Ahmad Shakeel Butt menyumbang satu gol.   Sementara, dua gol Armed Forces HT pula dijaringkan oleh Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim dan Muhamad Nazrey Din.