Selepas tamat perlawanan terakhir Kumpulan A divisyen satu TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh Perak hari ini, Terengganu dan Melaka mengesahkan slot ke separuh akhir apabila menewaskan lawan masing-masing.
Kemenangan Terengganu 3-2 ke atas Kuala Lumpur menyaksikan mereka mengumpul keseluruhan tujuh mata untuk dinobatkan selaku juara kumpulan sementara Melaka yang menewaskan Pulau Pinang mengumpul empat mata untuk muncul naib juara Kumpulan A.
Dalam perlawanan yang berlangsung, pintu gawang Terengganu terlebih dahulu dibolosi pada minit kesembilan selepas Muhammad Shahril Saabah yang berada di sudut sebelah kanan pintu gol lawannya itu bijak untuk menggunakan kedudukan tersebut menewaskan penjaga gol Terengganu, Muhamad Hafizuddin Othman.
Hafizuddin sekali lagi tertewas pada penghujung suku pertama apabila bola hantaran Norhizat Sumantri bijak untuk dibaca oleh Muhammad Amirol Aideed dan Aideed memberikan kelebihan untuk Kuala Lumpur mendahului 2-0.
Minit ke-20 Terengganu dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan kelebihan tersebut tidak dipersiakan oleh Faizal Saari untuk mengejar Kuala Lumpur dan mengubah kedudukan 2-1.
Bersambung suku ketiga aksi pantas dipamerkan oleh kedua-dua pasukan, kesilapan penjaga gol Kuala Lumpur, Adrian Andy Albert yang mengasari Faizal Saari ketika mahu mempertahankan pintu gol mengundang padah apabila Terengganu dihadiahkan dengan pukulan penalti dan Mohd Fitri Saari tidak mempunyai masalah untuk mengikat kedudukan 2-2.
Saat perlawanan seakan tamat dengan keputusan seri, Muhammad Sufi Ismat Mr Rozulamin muncul wira buat Terengganu apabila gerakan satu dua bersama Faizal Saari dimanafaatkan sebaiknya oleh Sufi Ismail untuk memastikan kemenangan 3-2 milik Terengganu.
Dalam pada itu pertemuan diantara Pulau Pinang dan Melaka menyaksikan Muhammad Afif Akmal Salim muncul wira untuk membawa Melaka ke separuh akhir selepas jaringan pukulan sudut penaltinya pada minit ke-52 menghadiahkan Melaka kemenangan 2-1.
Terdahulu Pulau Pinang membuka tirai jaringan pada minit ke-19 selepas Jiwa Mohan tidak mempunyai masalah untuk menyudahkan pukulan penalti. Memasuki minit ke-33 Melaka bangkit mengikat kedudukan menerusi Ismail Abu dan Afif Akmal muncul wira menghadiahkan tiga mata untuk Melaka.
Sementara itu Selangor menjadi pasukan pertama dalam Divisyen Dua, Kumpulan A untuk melangkah ke separuh akhir selepas mengumpul 12 mata penuh dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan, termasuk menewaskan Kelantan 2-0 pada perlawanan terakhir mereka hari ini.
Lain-lain keputusan hari ini (8 November 2017) :
Divisyen Dua (Group A)
Kelantan 0-2 Selangor dan Thailand 1-3 Indonesia
Berikut merupakan jadual perlawanan esok (9 November 2017) :
Divisyen Dua (Group A)
4.00 Petang, Padang 2: Thailand mln Pahang
Divisyen Dua (Group B)
6.00 Petang, Padang 1: Perlis mln Kedah
6.00 Petang, Padang 2: ATM mln Singapura
Divisyen Satu (Group B)
8.00 Malam, Padang 1: PDRM mln Negeri Sembilan
8.00 Malam, Padang 2: Perak mln Johor