Juara bertahan, Perak bagi kategori lelaki dan Selangor bagi kategori wanita terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2023 meskipun aksi peringkat kumpulan masih belum berakhir.
Kemaraan Perak itu disahkan selepas skuad kendalian K. Rajan melakar kemenangan 2-0 ke atas Terengganu pada aksi keempat Kumpulan A di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai hari ini.
Pada aksi yang berlangsung sengit itu menyaksikan Perak membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi gol padang oleh Muhammad Nursyahmi Zulkifli.
Bersambung suku kedua, Terenganu dan Perak gagal menemui sentuhan penyudah namun memasuki suku ketiga giliran Muhammad Najib Abu Hassan mencetak nama sebagai penjaring untuk mengesahkan kemenangan Perak sekali gus menempah tiket ke separuh akhir meskipun masih berbaki satu perlawanan.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan Kuala Lumpur ‘kenduri gol’ apabila menundukkan ATM 6-1 dan memerlukan kemenangan ke atas Negeri Sembilan Rabu ini untuk mengiringi Perak ke separuh akhir.
Sementara itu, Pahang hampir pasti untuk mara ke pusingan seterusnya selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Perlis untuk berada di puncak Kumpulan B dengan berbaki dua perlawanan manakala Pulau Pinang menewaskan Kedah 4-1.
Untuk aksi wanita, Negeri Sembilan melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah pada aksi keempat Kumpulan A di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai.
Perlawanan yang berlangsung sengit itu menyaksikan Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Hidayatul Adyani Johnny hasil gol padang pada minit ke-30.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan bangkit dengan dua gol pantas menerusi Ismiamirah Yusof hasil gol padang pada minit ke-43, disusuli jaringan Nor Adilah Abdul Malik dua minit kemudian melalui pukulan sudut penalti.
Satu lagi perlawanan Kumpulan A, Selangor turut mengesahkan tempat ke separuh akhir bagi kategori wanita apabila menundukkan ATM 2-1.
Bagi aksi Kumpulan B, Kuala Lumpur menjinakkan PDRM 3-0 manakala Melaka melakar kemenangan 4-2 ke atas Terengganu.
Keputusan Penuh : Isnin (16 Oktober 2023)
Kategori Wanita
Kumpulan A :
Negeri Sembilan 2-1 Sabah, ATM 1-2 Selangor
Kumpulan B:
Kuala Lumpur 3-0 PDRM, Terengganu 2-4 Melaka
Kategori Lelaki
Kumpulan A:
Kuala Lumpur 6-1 ATM, Terengganu 0-2 Perak
Kumpulan B:
Pulau Pinang 4-1 Kedah, Perlis 1-4 Pahang, PDRM 3-5 Selangor