Young Tigress menepati status mereka selaku Pasukan Remaja Kebangsaan, apabila merangkul kejuaraan sulung selepas menewaskan Selangor 2-1 pada perlawanan akhir hoki wanita TNB Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Dua gol kemenangan skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu dijaringkan oleh Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi pada minit ke-18 dan ke-44 menerusi jaringan padang.

Naib juara edisi 2023, Selangor berjaya merapatkan jurang kepada 1-2 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Qumyra Allysyia Iman Mohd Rizal pada minit ke-48.

Namun, kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dan Young Tigress yang dalam persiapan beraksi di Piala Remaja Asia di Oman dinobatkan selaku juara.

Bagaimanapun, kemenangan Young Tigress masih belum mampu memuaskan hati pengendali pasukan remaja negara, Lailin yang mahu anak-anak buahnya merenung kembali prestasi mereka sepanjang kejohanan itu.

“Kami menang perlawanan ini, ia sesuatu yang positif, tetapi, kami masih belum mencapai standard yang dimahukan.

“Banyak kerja yang perlu dibuat sebaik kami pulang nanti, terutama tindakan penyudah pukulan sudut penalti kami,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Menurut beliau, anak-anak buahnya perlu melipat gandakan usaha dan mereka masih mempunyai masa untuk memperbaiki mana-mana kelemahan menjelang Piala Remaja Asia.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 berkesudahan Terengganu menewaskan Perak menerusi penalti shoot-out 3-2, selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam minit sebenar permainan.

Tiga gol Terengganu disempurnakan oleh Nurul Erna Fariesha Mohd Faizal, Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisham dan Fatin Naimah Zaki, manakala, dua gol Perak dijaringkan oleh Nur Zuha Qistina Ridzuan serta Nurul Qistina Mohamad Ridzwan.

Tags: