Kuala Lumpur dan Sabah memahat sejarah tersendiri di Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2023 apabila masing-masing dinobatkan juara kategori lelaki dan wanita.
Selepas kali terakhir muncul juara sejak 2011, Kuala Lumpur akhirnya menamat kemarau 12 tahun apabila muncul juara kategori lelaki edisi ke-61 dengan menewaskan Melaka 4-2 menerusi penentuan penalti di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 2 (NHS 2).
Dalam aksi yang berlangsung cukup sengit itu menyaksikan Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi gol padang oleh Amirrullah Zainol.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-29 hasil pukulan sudut penalti disempurnakan Zulpidaus Mizun namun Melaka kembali mendahului lima minit kemudian menerusi gol kedua peribadi Amirrullah kali ini melalui pukulan sudut penalti.
Enggan berputus asa, Kuala Lumpur sekali lagi bangkit memadam kelebihan gol Melaka dengan giliran Sriraam Vikneswaran mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-47.
Jaringan itu telah mengheret kepada penentuan penalti bagi menentu pemenang edisi ke-61.
Dalam penentuan penalti, kegagalan pemain Amir Saifuddin Abdul Rahim dan Adam Aiman Mamat menyempurnakan penalti menyaksikan kemenangan berpihak kepada Kuala Lumpur yang menyudahkan empat penalti manakala Melaka sekadar mampu menyempurnakan dua daripadanya.
Sementara itu, bagi final wanita edisi kelapan, Sabah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara buat julung kalinya apabila melakar kejutan menundukkan juara bertahan , Selangor 2-1.
Turun dengan misi mempertahankan kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut, langkah Selangor tampak positif apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Ellya Amanina Ellias.
Begitupun, Sabah bangkit menyamakan kedudukan hasil gol padang yang dijaringkan Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun pada minit ke-18.
Ketika kedua-dua pasukan saling berbalas serangan mencipta peluang mencari gol, Cyrachilld Rojos muncul wira Sabah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-38 sekali gus menunaikan hasrat jurulatihnya Hasrul Jideh untuk membawa pulang piala ke Borneo.