Sarjit Mahu Pemain Speedy Tigers Bangkit, Lupakan Kekecewaan Tewas Kepada New Zealand

Kekalahan kepada New Zealand pada aksi kedua Kumpulan B Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2024/25 cukup perit untuk ditelan barisan pemain Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan namun keputusan itu tidak lagi mampu diubah.

 

Begitupun, kebangkitan dan kekecewaan itu mampu diubat dengan memburu kemenangan ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan B yang dijadualkan berlangsung di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.

 

Pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh turut berkongsi rasa kecewa di atas kekalahan itu namun menyifatkan ia adalah satu pengajaran berguna buat anak didiknya.

 

Keputusan itu cukup memeritkan kerana beberapa kesilapan dilakukan pemainnya menyebabkan mereka dilayangkan kad sekali gus menyaksikan skuad negara tempang kekurangan pemain di atas padang.

 

Skuad negara dilihat menguasai permainan selepas mendahului tiga jaringan menerusi Akhimullah Anuar Esook minit ke-18, Fitri Saari (m-38) dan Azrai Aizad Abu Kamal (m-39).

 

Namun, dua kad kuning diterima pemain melibatkan Fitri pada minit ke-44 dan Muhajir Abdu Rauf di minit ke-52 menyaksikan skuad negara dibolosi empat gol dalam tempoh masa hanya lapan minit.

 

“Kami menguasai sepenuhnya perlawanan. Pihak lawan langsung tidak memberikan sebarang ancaman. Tiga mata boleh dikatakan sudah berada dalam genggaman tetapi satu kesilapan oleh Fitri sehingga menyebabkannya menerima kad, membolehkan lawan mula menjaringkan gol.

 

“Apapun, saya rasa semua pemain bermain dengan baik dan berjuang dengan bersungguh-sungguh, tetapi inilah hoki. Sudah tentu saya berasa kecewa dan marah kerana apabila anda menguasai perlawanan, tiba-tiba anda keluar dengan kekalahan 3-4.

 

“Seperti saya katakan tadi, lawan langsung tidak memberikan ancaman dan kami beri tentangan yang baik, tapi disebabkan pemain negara menerima kad, kami beri kemenangan yang mudah kepada lawan,” kata Sarjit selepas perlawanan.

 

Skuad negara ketika ini menghuni tangga ketiga dalam Kumpulan B dengan mengutip satu mata selepas seri 3-3 dengan Pakistan pada perlawanan pertama dan tewas 4-3 di tangan New Zealand.

 

New Zealand telah mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengutip enam mata penuh untuk memimpin Kumpulan B manakala Pakistan di tangga kedua apabila mengumpul empat mata.

 

Sementara itu, penjaga gol negara, Hafizuddin Othman yang beraksi cukup cemerlang dalam perlawanan itu optimis Malaysia mampu mengutip tiga mata pada aksi berdepan Jepun.

 

“Hari Rabu ini adalah perlawanan terakhir Kumpulan B untuk kita. Kita jangan tengok aksi Pakistan dan New Zealand tetapi kena fokus untuk perlawanan menentang Jepun dan cuba sehabis baik dapatkan tiga mata,” jelasnya.