Speedy Tigers Bangkit Ikat Pakistan Pada Aksi Pertama Piala Negara-Negara 2024-25

Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan mempamerkan semangat juang tinggi dan kebangkitan luar biasa di suku keempat untuk mengikat Pakistan 3-3 pada perlawanan pertama Kumpulan B Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2024-25.

 

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata, dengan Syed Syafiq Syed Cholan dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan berkenaan.

 

Pada aksi di Padang 1, Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Speedy Tigers yang beraksi di hadapan penyokong sendiri, terlebih dahulu dikejutkan dengan dua gol awal oleh Pakistan pada suku pertama.

 

Dua gol Pakistan masing-masing hadir pada minit keenam menerusi gol padang oleh Ahmad Nadeem dan minit kesembilan apabila Abdul Rehman menyempurnakan pukulan sudut penalti.

 

Suku kedua dan ketiga menyaksikan tiada jaringan terhasil meskipun kedua-dua pasukan memiliki beberapa peluang tetapi gagal diterjemahkan kepada jaringan.

 

Namun, memasuki suku keempat skuad kendalian Sarjit Singh mempamerkan prestasi luar biasa apabila berjaya menjaringkan tiga gol.

 

Kebangkitan itu bermula menerusi ledakan Fitri Saari hasil gol padang pada minit ke-48, sebelum Syed Syafiq Syed Cholan menyamakan kedudukan pada minit ke-53.

 

Tersentak dengan gol penyamaan, menerusi satu serangan pantas, Pakistan Kembali didepan pada minit ke-54 namun Syed Syafiq muncul wira skuad negara apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian bagi memastikan Malaysia meraih satu mata berharga.

 

Satu lagi aksi kumpulan itu, menyaksikan New Zealand menang 2-1 ke atas Jepun.

 

Sementara itu, untuk aksi kumpulan A, Perancis menang 6-5 ke atas Korea Selatan manakala Afrika Selatan seri 4-4 dengan Wales.