KEPUTUSAN
PERANCIS…………3 AUSTRALIA………2
PERANCIS memberi isyarat awal mahu mengejar nama pada edisi ke-13 kali ini selepas menumpaskan bekas juara, Australia 3-2 untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala Dunia Remaja.
Pemenang pingat gangsa pada 2021 seperti sudah terbayang dapat melepasi halangan suku akhir selepas mendahului selesa dengan tiga gol di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tapi lawan mereka tidak mengalahkan mudah apabila bangkit merapatkan kedudukan.

Cuma kesilapan dan penyudahan hambar Australia memberi kelegaan kepada Perancis untuk mengesahkan kemenangan penting ini.
Lawan mereka dalam separuh akhir nanti adalah pemenang di antara Pakistan atau Sepanyol yang beraksi dalam satu lagi perlawanan peringkat sama.
JARINGAN
Perancis: Noe Jouin (minit ke-17,43), Gaspard Denis (m-21)
Australia: Cooper Burns (minit ke-43,48)

APA KATA JURULATIH
Matthias Dierckens (ketua jurulatih Perancis)
“Fokus kami adalah kepada saingan separuh akhir dan hari saya rasa pemain kami bijak dalam rancangan mereka untuk menang.

Pemain Perancis, Victor Martin (kanan) cuba menghalang kemaraan pemain Australia dalam perlawanan suku akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang ini.

Saya hormati hoki Australia. Kami gelisah apabila mereka merapatkan jurang jaringan. Namun, pemain saya kekal tenang dan bertahan baik sehingga wisel penamat.
Saya percaya kami ada segala ramuan untuk berjaya dan mampu menewaskan pasukan mana sekalipun pada hari terbaik kami.”

Tom Gillard (tiga dari kiri) menyambut gol jaringan Noe Jouin (dua kiri) dalam aksi suku akhir menentang Australia, petang ini. Perancis menang 3-2 dan layak ke separuh akhir.

Jay Stacy (ketua jurulatih Australia)
“Kami hilang rentak pada awal babak. Pertahanan juga agak longgar dan pemain juga kurang bijak dalam membuat keputusan. Saya kecewa tapi tetap puas hati dengan persembahan dan komitmen anak buah saya dalam perlawanan.
Perancis adalah satu lawan yang baik dan mantap, sentiasa menunjukkan kemajuan dalam permainan. Anak buah saya tidak menunjukkan tanda mahu mengalah selepas ketinggalan 3-0. Mereka terus berjuang dan berjaya merapatkan jurang.

Mungkin sesuatu boleh berlaku jika jaringan gol ketiga kami tidak dibatalkan pada suku keempat. Cabaran kami belum habis. Pemain bertekad meningkatkan tahap permainan dan sedar akan berdepan dengan pasukan lawan kuat dalam perlawanan penentuan tempat 5-8 nanti.”