20 Pemain Terbaik Negara Sedia Galas Cabaran Piala Negara-Negara 2024-25

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, merangkap Pengurus Pasukan Skuad Lelaki Negara, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak mengumumkan senarai 20 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia di Kejohanan FIH Hoki Piala Negara-Negara 2024-45 yang dijadualkan bermula pada 15 hingga 21 Jun ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh berkata pemilihan pemain yang dilakukan adalah berdasarkan prestasi semasa di dua siri Jelajah iaitu di Australia dan Korea Selatan, dengan kesemua pemain yang dipanggil yang menjalani sesi latihan bersama skuad negara telah diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

 

Katanya, beberapa kriteria antara prestasi semasa, keserasian, konsistentasi serta beberapa aspek lain dijadikan panduan barisan kejurulatihan dalam menyenaraikan 20 pemain terbaik bagi beraksi di kejohanan edisi ketiga ini.

 

“Sepanjang dua siri jelajah, satu di Perth, Australia dan satu lagi di Korea Selatan, tumpuan utama kami adalah untuk memberi setiap pemain peluang yang adil untuk membuktikan kemampuan diri mereka. Pemain yang tidak pergi ke Perth diberi pendedahan perlawanan penuh di Korea Selatan, dan penggiliran ini membantu kami menilai setiap pemain dalam corak permainan yang berbeza dan menentang gaya lawan yang berbeza.

 

“Pemilihan kami akan berdasarkan beberapa kriteria utama iaitu konsisten dalam prestasi semasa latihan dan perlawanan, keupayaan untuk menyesuaikan diri secara taktikal, tahap kecergasan, dan sumbangan keseluruhan mereka kepada dinamik pasukan di dalam dan di luar padang.

 

“Kami juga mempertimbangkan cara pemain mengendalikan tekanan dan sejauh mana mereka bertindak balas terhadap situasi semasa. Skuad terakhir mencerminkan keseimbangan antara pengalaman dan bakat muda, kesemuanya telah mendapat tempat mereka,” kata Sarjit ketika sidang media pengumuman skuad terakhir yang bakal beraksi di Piala Negara-Negara 2025.

 

Tambah Sarjit, pemain remaja yang dipanggil menjalani latihan bersama pasukan senior lelaki kebangsaan sebelum ini turut berjaya menempatkan diri dalam senarai pemain yang mewakili Speedy Tigers pada kempen Piala Negara-Negara 2024-25.

 

Jelas beliau, antara pemain muda yang menunjukkan peningkatan dan menonjol dalam kedua-dua siri jelajah adalah Andywalfian Jeffrynus dan diharapkan pemain ini mampu memberi impak di kejohanan kelak.

 

“Ya, kami turut menyenaraikan beberapa pemain remaja yang juga akan bermain di Piala Dunia Remaja tahun ini iaitu Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari, Mohammad Harris Iskandar Osman, Andywalfian dan T. Naaveennash Panicker.

 

“Kesemuanya mendapat pendedahan antarabangsa yang berharga di siri jelajah dan menunjukkan gambaran potensi mereka. Mereka menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan, tetapi seperti yang dijangkakan, mereka masih memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri sepenuhnya dengan rentak dan permintaan fizikal hoki antarabangsa di peringkat senior.

 

“Andy antara pemain yang menonjol dalam kedua-dua lawatan. Dia beraksi dengan baik apabila diberi peluang, dan apa yang paling mengagumkan kami ialah pembelajarannya dalam setiap perlawanan yang dimainkan, dia kelihatan lebih selesa dan yakin. Itulah  perkembangan yang kami mahu lihat dalam pemain pada peringkat ini dan kami berharap dia mengekalkannya dan beraksi dengan baik sepanjang Piala Negara-Negara,” jelas Sarjit.

 

Speedy Tigers mempunyai beberapa kejohanan besar pada tahun ini termasuk Kejohanan Piala Asia yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia buat pasukan yang muncul juara dan kejohanan itu dijadualkan berlangsung pada 27 Ogos hingga 7 September di India.

 

Selain itu, Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan dijadualkan menyertai dua lagi kejohanan iaitu Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh Perak pada 22 hingga 29 November serta Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025.

 

Berikut merupakan senarai 20 pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia di FIH Hoki Piala Negara-Negara 2024-25.

 

Berikut merupakan jadual penuh kejohanan yang akan berlangsung dari 15 hingga 21 Jun 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 1.