Dua jaringan padang yang dihasilkan oleh Skuad Wanita Kebangsaan dalam perlawanan terakhir pusingan round robin, Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2023 yang berlangsung di Marang Gomke Jaipal Singh Astroturf Hockey Stadium Ranchi, menghadiahkan kemenangan 2-0 buat Malaysia pada aksi bertemu Thailand.
Gol padang yang dijaringkan oleh Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha pada minit ke-25 dan Nur Nabila Alia Yussaini pada minit ke-52 menyaksikan Malaysia menutup pusingan round robin dengan empat mata keseluruhan hasil kemenangan hari ini dan keputusan seri 1-1 yang diraih ketika bertemu Korea.
Pengendali Skuad Wanita Negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, menyifatkan kemenangan yang diraih pada aksi hari ini adalah hasil usaha keras pemain yang turut mempamerkan satu permainan terbaik serta tahap disiplin yang tinggi.
“Disebalik kemenangan hari ini, kami kehilangan dua pemain iaitu Hanis Nadiah Onn dan Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin. Bagaimanapun dua pemain muda yang menggantikan mereka iaitu Anith Humairah Baharudin dan Siti Nur Arfah Mohd Nor telah melakukan tugas dengan baik.
“Pemain juga lebih berdisiplin hari ini terutamanya di bahagian pertahanan namun kami perlu memperbaiki kekurangan dari sudut menjaringkan gol dan menggunakan peluang untuk mencetak gol dengan lebih baik.
“Kami melepaskan tujuh kelebihan pukulan sudut penalti dan kami akan melakukan kembali analisa video untuk memperbaiki kekurangan melepaskan kelebihan tersebut dan memperkemaskannya.
“Pertemuan dengan Thailand pada penentuan tempat ke-5 dan ke-6, kami akan mengenalpasti struktur permainan yang lebih sesuai untuk digunakan. Saya mengharapkan pemain akan memberikan sehabis baik dan satu permainan yang terbaik.
“Saya yakin pemain akan memikul tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin bagi perlawanan terakhir kejohanan,” jelas beliau.
Malaysia dan Thailand akan membuat perhitungan sekali lagi pada Sabtu, 4 November jam 6:00 petang (waktu Malaysia) kali ini bagi menentukan pasukan mana yang akan menamatkan kejohanan di kedudukan ke-5 dan ke-6.