Skuad hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak cemerlang di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Bangladesh 6-1 hari ini.
Selepas membuka kempen dengan kemenangan ke atas China sebelum menundukkan Korea dalam perlawanan kedua, Speedy Tigers sekali lagi tampil meyakinkan untuk meneruskan momentum positif di Punjab, India.
Bangladesh menjadi mangsa ketiga Malaysia dalam aksi liga satu pusingan, dengan skuad negara mempamerkan ketajaman di hadapan gol menerusi enam jaringan yang dihasilkan.
Azrai Aizad Abu Kamal membuka akaun jaringan Malaysia menerusi gol padang pada minit ke-14 sebelum menggandakan kelebihan Speedy Tigers melalui pukulan sudut penalti (PC) lapan minit kemudian.
Bangladesh cuba bangkit apabila Amirul Islam merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-26. Namun, Malaysia pantas memberikan respons apabila Akhimullah Anuar Esook meledak gol ketiga negara pada minit ke-29.
Rentak jaringan diteruskan Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-32 sebelum Shello Silverius menambah derita Bangladesh dengan gol padang seminit kemudian untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 5-1.
Malaysia terus mengawal kelebihan sebelum Nik Aiman Nik Rozemi melengkapkan kemenangan 6-1 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-50.
Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, khususnya dalam tempoh 15 hingga 20 minit pertama perlawanan, selain keupayaan mereka mengawal permainan dengan baik.
Bagaimanapun, beliau melihat masih ada ruang untuk Malaysia memperbaiki penyudah dan memanfaatkan lebih banyak peluang yang terhidang.
“Secara keseluruhan, saya rasa pemain mengawal permainan dengan cukup baik. Mungkin ada beberapa peluang yang boleh menghasilkan gol, tetapi saya gembira dengan persembahan mereka,” katanya.
Bagi Carolan, pendekatan Malaysia kekal sama — memberikan tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa dan terus memperbaiki prestasi dari satu aksi ke aksi berikutnya.
Pendekatan itu pastinya penting buat Malaysia yang kini sudah mencatat tiga kemenangan berturut-turut. Beliau mahu anak buahnya menggunakan setiap perlawanan sebagai peluang untuk meningkatkan mutu permainan, terutama menjelang cabaran daripada pasukan yang lebih kuat dalam kejohanan ini yang menuntut skuad negara untuk terus konsisten, memperbaiki kelemahan dan membuktikan kemampuan mereka.









