TARIKH 13 Disember 2013 mungkin tidak akan luput dalam memori Muhammad Dharma Raj Abdullah buat selama-lamanya.
Pada hari itu skuad muda kita begitu hampir mahu menjulang martabat negara melakar sejarah unik di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di New Delhi, India.
Namun, menyedihkan ‘elemen tuah’ jelas tidak bersama ketua jurulatih itu dan anak didiknya apabila terlepas tiket ke final yang amat ditagih berbekal barisan terbaik dicanang untuk memburu pingat.
Andai pada hari berkenaan barisan negara berjaya melepasi halangan separuh akhir ketika menentang Perancis, mereka bukan saja gah naik ke podium buat julung kali dalam sejarah penyertaan malah sekali gus dapat memadamkan kejayaan skuad 1979 dan 1982 yang berjaya meraih tempat keempat.

Pada hari perlawanan yang bermula jam 6 petang (waktu Malaysia), peminat tanah air dilanda ‘demam hoki’ ketika beranggapan ini adalah tahun yang dapat menamatkan badi tanpa pingat.
Sesungguhnya Malaysia dilabel pilihan memenangi saingan penting ini berpandu kepada aksi menarik ditonjolkan pada pusingan awal tanpa sebarang kekalahan sehingga ke suku akhir, tetapi malangnya pada detik penting itu mereka tersungkur kepada wakil dari Eropah itu.
“Kami sudah begitu hampir ke final dengan barisan terbaik. Tapi peluang itu terlepas bagi meraih kedudukan podium buat pertama kali dan mencatat sejarah baru untuk hoki negara.

“Saya masih kesal dan kecewa sehingga hari ini mengenang kekalahan kami dalam kelompok empat terakhir. Entah, saya benar-benar sukar dapat melupakanya,” kata Dharma dengan nada sedih ketika dihubungi, baru-baru ini.
Pengendali yang sentiasa gigih itu turut bersuara betapa pasukan kehilangan beberapa pemain yang diperintah keluar padang dalam tempoh permainan selepas menerima kad kuning. Ia sedikit menjejaskan rentak pasukan.
Skuad negara mendahului 1-0 menerusi Azri Hassan pada minit ke-4 sebelum Perancis menyamakan kedudukan hasil jaringan Kieffer Jean-Laurent minit ke-63 di Stadium Kebangsaan Dhyan Chand.
Dalam penentuan penalti shoot-out kita kalah 1-3. Pemain kita rebah atas padang astroturf tanda kecewa. Ada yang menangis dan perlu ditenangkan pegawai dan rakan sepasukan ketika pemain Perancis melonjak gembira layak ke final bertemu Jerman. Juara bertahan itu menewaskan gergasi Eropah, Belanda 5-3 dalam satu lagi saingan peringkat sama.

Kini, hanya perebutan pingat gangsa menentang Belanda yang berbaki ketika Dharma turut akur lawan itu lebih liat jika mahu dibandingkan dengan Perancis. Namun, mereka tetap bertekad mahu memberi cabaran kuat untuk menafikan kemenangan lawan.
“Kami tidak menyerah mudah dan memberi saingan tetapi kekuatan sepasukan dan pengalaman lawan menjadi kelebihan mereka. Kami tewas kepada sebuah pasukan yang boleh dianggap kedua terbaik dalam kejohanan ini,” kata Dharma.
Jelas minda pemain masih terganggu atas kekalahan kepada Perancis tempoh hari tetapi mereka tetap hadir di gelanggang memberi yang terbaik, Namun, bekalan ini tidak mencukupi sebelum dibelasah lawan 7-2.

Dua gol Malaysia adalah jaringan Zulhairi Hashim, pada minit ke-7 dan 60 hasil jaringan pukulan sudut penalti. Gol lawan disumbang Roel Bovendeert (m3), Thierry Brinkman (m6,28), Tom Hiebendaal (m18,37), Milan Van Baal (m23) dan Jelle Galeme (m52).
“Pasukan ini sudah memberi persembahan di luar jangkaan. Apabila kami tiba di kejohanan, sasaran adalah mencapai enam teratas tapi kami sudah berjaya layak ke separuh akhir.
“Memang perit rasanya tidak dapat ke final selepas mara begini jauh dalam kejohanan.
“Apa dicapai anak buah saya adalah satu kebanggaan untuk negara kerana setiap pasukan di sini cukup mantap dengan persiapan padu,” jelas Dharma yang membentuk satu gandingan mantap bersama pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi dalam mengapikan semangat perjuangan pemain.
Jerman muncul juara buat kali keenam menewaskan Perancis 5-2 dalam final yang menyaksikan lawan mereka beraksi dalam perlawanan akhir buat julung kali di pentas kejohanan besar dunia.
Dalam saingan pusingan awal, Malaysia gah mengutip sembilan mata maksimum dengan merakamkan kemenangan ke atas New Zealand (3-2), Afrika Selatan (2-1) dan England (4-2) untuk muncul selaku juara Kumpulan D.
Rentak garang skuad negara berterusan apabila menjadikan Korea Selatan mangsa berikut dengan kemenangan 2-1 untuk mara ke separuh akhir buat kali pertama sejak 1982. Tidak dinafikan ini adalah antara barisan remaja terbaik negara pernah dibentuk pada alaf baru ini.
Ada juga ‘Faktor 6’ turut menjadi antara bicara kenapa kita gagal menewaskan Perancis pada hari berkenaan.
Dharma tidak mahu ia menjadi satu alasan tetapi mempertahankan enam pemain tonggak tidak dapat beraksi kerana sudah lebih umur untuk edisi kali ini yang membabitkan pemain bawah 21 tahun.
Mereka adalah kapten pasukan, Mohamed Noor Faeez, Faisal Shaari, Amir Farid, Dedi Aryaddi, Ramadan Rosli dan Norizat Sumantri yang memainkan peranan besar bantu pasukan layak ke New Delhi.
“Pada pengamatan saya, jika enam pemain berpengalaman ini dapat beraksi kita ada peluang baik untuk kalahkan Perancis. Sejarah hoki kita juga mungkin sudah berubah pada hari ini,” katanya.

Hakikatnya, pemain yang sudah lebih umur ini kemudian melangkah menjadi pemain tonggak skuad senior negara.
Pasukan ke New Delhi ini bukan barisan yang sederhana malah hadir dengan reputasi tinggi selaku juara Piala Asia 2012 di Melaka. Tambahan majoriti pemain ini juga daripada skuad bawah 18 tahun yang muncul naib juara peringkat Asia dua kali.
“Pasukan yang dibentuk ini adalah pemain yang saya didik sejak mereka beraksi dalam kejohanan bawah 14, 16 dan 18 tahun. Malah, ada juga yang saya bimbing sejak berusia 13 tahun.
“Saya sudah lama mengenali mereka dan juga kemampuan milik mereka. Ini yang membantu saya memantapkan pasukan dengan bekalan pemain sama dibawah pengendalian saya selama lima tahun sehingga ke Piala Dunia Remaja.
“Proses ini mengambil masa lama dan mereka menjadi matang setiap tahun dengan program latihan yang disusun baik pihak pengurusan pasukan,” kata Dharma.
Pengalaman dan gandingan sesama pemain juga menampakkan hasil positif dengan pendedahan membabitkan perlawanan persahabatan berkualiti di luar negara.
“Saya juga tidak membazirkan masa dengan membawa masuk pemain baru sebaliknya menaruh kepercayaan ke atas pemain sama sejak mereka berusia 13 tahun. Mereka ini berada dalam minda saya untuk membentuk pasukan terkuat untuk menyahut cabaran Piala Dunia Remaja 2013.
“Inilah hasilnya. Saya bangga dengan setiap pemain yang memberi komitmen 100 peratus dalam kejohanan di India. Saya tidak akan melupakan sumbangan bermakna mereka untuk pasukan dan negara,” tambahnya.
Jalan cerita barisan didik Dharma juga menceritakan betapa penting bagi cabaran skuad remaja yang penuh dengan pemain matang dan berpengalaman. Bekalan yang ada ini pastinya akan menjadi penyumbang besar kepada kekuatan pasukan senior satu hari nanti.
Ada juga pemerhati sukan dan peminat hoki memuji program jangka panjang padu oleh Dharma dan pengurusan pasukan sehingga membutirkan hasil terpuji untuk berdiri sama tinggi dengan pasukan elit dunia lain.
KEJOHANAN HOKI PIALA DUNIA REMAJA 2013
TARIKH: 6 hingga 15 Disember
TEMPAT: Stadium Kebangsaan Dhyan Chand, New Delhi, India
PENGURUS PASUKAN: Datuk Mirnawan Nawawi
KETUA JURULATIH: Muhammad Dharma Raj Abdullah
PEN. JURULATIH: K Gobinathan, Lim Chiow Chuan, Nor Azlan Bakar, Len Aiyappa
SKUAD KEBANSAAN: Hafizuddin Othman, Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Nor Aqmal Abdul Gaffar, Hafiz Zainol, Fitri Saari, Meor Muhammad Azuan Hasan, Shazril Irwan Nazli, Firhan Ashaari, Rashid Baharom, Syamim Mohd Yusof, Haziq Samsul, Joel Samuel Van Huizen, Shahril Saabah, Izad Hakimi Jamaluddin, Kavin Kartik Govindasamy, Azri Hassan, Zulhairi Hashim, Faiz Helmi Jali
JUMLAH PASUKAN: 16 (Argentina, Australia, Belgium, Kanada, Mesir, England, Perancis, Jerman, India (tuan rumah), Korea Selatan, MALAYSIA, Belanda, New Zealand, Pakistan, Afrika Selatan, Sepanyol
JUARA: Jerman
NAIB JUARA: Perancis
KETIGA: Belanda
KEEMPAT: MALAYSIA