OLTMANS KEMBALI KE MALAYSIA DENGAN PASUKAN PAKISTAN

WAJAH Roelant Oltmans tidak banyak berubah sejak meninggalkan Malaysia selaku jurulatih skuad kebangsaan pada 2020.
Dia masih ketawa, peramah , suka bercerita dan memberi maklumat ditanya secara jelas.
“Saya gembira dapat pulang ke Malaysia. Saya amat suka tempat-tempat di sini…ada banyak kenangan,” katanya yang kini menjadi ketua jurulatih Pakistan bagi Piala Dunia Remaja (JWC) yang bakal bermula esok (Selasa).
Oltmans, 69, memulakan tugasannya di Malaysia pada 2018. Namun, khidmatnya cuma bertahan dua tahun apabila membuat keputusan meletakkan jawatan pada Julai 2022 atas sebab-sebab peribadi.
Dalam surat kepada media, dia menyebut pandemik Covid-19 pada ketika itu serta faktor sudah lama berjauhan daripada keluarga sebagai sebab utama.

Roelant Oltman – Pakistan Dutch coach

Kini, dia kembali ke Asia sekali lagi dan kali ini selaku ketua jurulatih skuad Pakistan.
Pakistan yang diundi dalam Kumpulan D akan turun menentang Belanda dalam perlawanan pembukaan Rabu ini.
Tidak dinafikan, sejak Oltmans mengambil tugasan membimbing bekas juara remaja Asia ini, dia berjaya mengubah momentum pasukan yang kini bermain lebih yakin sejak setahun lalu.
“Sekarang, kami mempunyai ramai pemain remaja berbakat. Saya mengamalkan strategi baru untuk meningkatkan kemajuan pasukan bagi masa depan.
“Untuk cabaran di JWC, secara ikhlas saya lebih suka mengambil fokus satu demi satu perlawanan dahulu.
“Kami akan menentang Belanda dan ia menjadi tumpuan utama pasukan. Biar kita melihat penyudahan pertemuan ini dan keputusannya. Selepas itu kita fikirkan matlamat ke suku akhir seperti mana dihajati pasukan lain di kejohanan ini, “katanya selepas sesi pertama pasukan.

Pakistan muncul naib juara Piala Remaja Asia di Oman.

Pakistan adalah pasukan terakhir tiba di Kuala Lumpur membabitkan 16 pasukan dalam edisi ke-13 kejohanan.
Oltmans berkata dia tidak memandang rendah keupayaan lawan dan akur Belanda dan Belgium berada pada satu tahap lain.
“Saya tidak banyak memusatkan kepada kekuatan lawan sebaliknya mahu pemain kami ‘bermain macam Pakistan’, menyerang dan sentiasa dapat menekan lawan,” tambahnya.
Pakistan yang mendapat sentuhan Oltmans muncul naib juara Piala Remaja Asia di Oman dan rekod mereka dalam JWC adalah juara pada edisi pertama di Paris pada 1979.
Bersama Belanda dia mencipta gemilang apabila memacu pasukan senior lelaki muncul juara Sukan Olimpik 1996 di Atlanta dan kemudian juara Piala Dunia 1998 di Utrecht, Belanda.