KEPUTUSAN
JERMAN……………….0 PERANCIS……..2
AFRIKA SELATAN……3 MESIR…………..2
KEJUTAN besar tercipta di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini selepas Perancis gah menewaskan juara enam kali, Jerman 2-0 dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan Piala Dunia Remaja.
Keputusan ini bererti laluan Perancis ke suku akhir edisi kali ini sudah hampir pasti terjamin berbekal koleksi enam mata maksimum selepas dua perlawanan.
Pemain penyerang, Jules Verrier menjaringkan kedua-dua gol pasukan pada minit ke-10 dan 40 untuk diumumkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan.

Kekalahan Jerman pula tidak menjejaskan nasib mereka mara ke kelompok lapan terakhir kerana masih ada baki satu perlawanan bertemu Mesir pada Jumaat ini.
Gergasi Eropah ini wajib menang dengan kemenangan besar kerana pertemuan di antara Perancis menentang Afrika Selatan juga ada kesan kepada cabaran mereka.
APA KATA MEREKA
Rein van Eijk (ketua jurulatih Jerman)“Hujan memberi kesan tapi saya rasa ini bukan untuk mencari alasan. Jerman gagal menampilkan keupayaan sebenar. Kekalahan ini ada kaitan dengan kesilapan kami sendiri. Perancis bermain bagus, bertahan dan menyerang dengan baik. Gerakan kami banyak dipatahkan mereka.

Kekalahan ini adalah satu peringatan untuk kami bangkit dan meningkatkan lagi tempo permainan.
Apa yang perlu kami lakukan adalah untuk menang mengatasi Mesir dengan jaringan besar dan menunggu keputusan perlawanan Perancis menentang Afrika Selatan.”
Matthias Dierckens (ketua jurulatih Perancis)
“Kemenangan ini memang melegakan kami untuk layak ke suku akhir. Mungkin ini kali pertama kami menumpaskan Jerman dan bagus untuk keyakinan pasukan.
Saya kena sebut kami tidak puas hati walaupun menang ke atas Mesir tempoh hari. Kami bergerak perlahan dan kekurangan perwatakan. Jadi kami ubah situasi ini kepada sesuatu yang positif untuk menang mengatasi Jerman.
Selepas ini kami akan menentang Afrika Selatan. Kami tidak mahu mengambil mudah dan harus bermain penuh waspada pada saat genting ini. Matlamat kami adalah untuk menjuarai kumpulan kami.”
Sementara itu, Afrika Selatan melakar kemenangan pertama di kejohanan selepas berhempas pulas menewaskan Mesir 3-2 dalam satu lagi saingan Kumpulan B.
Tiga mata ini setidak-tidak dapat mengubati rasa kecewa ditanggung mereka gara-gara kekalahan kepada juara enam kali, Jerman, 5-3 dalam perlawanan pertama pada Selasa (5 Disember).
Mesir yang bangkit pada lewat babak kedua nyaris menafikan tiga mata untuk lawan selepas memberi tekanan sehingga minit terakhir perlawanan.
Apa pun, Afrika Selatan yang dahulu membuka tirai jaringan menerusi Cameron Le Forestier pada minit ke-11 dan selang tiga minit kemudian Calvin Davis menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk mendahului 2-0.
Namun, Mesir bertindak balas dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-22 menerusi pukulan sudut penalti minit ke-22 sumbangan ketua pasukan, Hossameldin Ragab sebelum babak pertama berakhir.
Selepas rehat, Afrika Selatan melebarkan kedudukan kepada 3-1 hasil jaringan Jaydon Broeker minit ke-38 dan pada minit sama Mesir berjaya menyumbat gol kedua menerusi Hossameldin.
APA KATA MEREKA
Guy Elliott (ketua jurulatih Afrika Selatan)
“Gembira dapat menang tapi saya akur akan kehebatan ditunjukkan oleh Mesir yang bangkit memberi saingan dan mengambil peluang untuk merapatkan jurang jaringan. Memang mereka bagus.
Kami mahu mengaut kesempatan ini untuk cuba layak ke suku akhir buat pertama kali dan halangan berikut adalah bertemu Perancis. Kami akan berehat sehari dan menggunakan tempoh ini untuk berkumpul dan mengilhamkan sesuatu bagi perlawanan penting ini.

Perancis adalah pasukan yang amat bagus dan jika mahu menang kami perlu mencari sesuatu satu formula terbaik menyekat mereka. Kami akan cuba.”
Moustaffa Khalil (ketua jurulatih Mesir)
“Saya amat puas hati disebalik kekalahan ini. Kami nyaris memaksa Afrika Selatan untuk seri ketika ada peluang pada enam minit terakhir untuk mendapatkan gol penyamaan.

Hujan lebat juga memberi masalah kepada kami. Banyak air atas gelanggang yang membataskan pergerakan pasukan.
Kami tidak dapat memberi yang terbaik kerana hanya sempat berlatih selama seminggu saja sebelum tiba di Kuala Lumpur untuk kejohanan. Pasukan ini akan cuba mencari kedudukan terbaik sebelum pulang nanti.”