SUDUT KAPTEN

SEJURUS selepas tamat saingan klasifikasi, Malaysia dan Belgium melaungkan azam yang sama – mahu menyudahkan cabaran selaku pasukan ke-9 terbaik dalam Piala Dunia Remaja.
Hakikatnya, hanya satu pasukan saja dapat mengejar status berkenaan dan detik penentuan itu bakal menyusul apabila dua pencabar itu bertembung dalam perlawanan penentuan tempat ke-9 hingga 12, esok.
Dua lagi pasukan yang turut memasang impian sama adalah Afrika Selatan dan New Zealand.
Bagi dua kapten – Faris Harizan dan Guillermo Hainaut dari Belgium, mereka percaya andai semua berjalan lancar, peluang mereka untuk meniti ke arah kemenangan adalah cerah dalam pertembungan menarik, esok.
Faris Harizan (ketua pasukan Malaysia)
“Ketika ini suasana dalam pasukan bagus. Semua ceria dan menunggu saat untuk menentang Belgium. Kami perlu berdisiplin tinggi dalam saingan klasifikasi ini. Faktor ini amat penting.
Bagi saya, perkara paling penting harus dilakukan adalah untuk mengunci ketat benteng pertahanan kita dan tidak membiarkan lawan memecah masuk sewenang-wenangnya.

Amin dan ketua pasukan, Faris Harizan di sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Belgium adalah antara pasukan terbaik dari Eropah. Saya dan rakan-rakan mengerti kami tidak boleh bermain secara terbuka menentang mereka. Kami sudah lihat kemampuan mereka ketika menentang Kanada dan tahu apa perlu dilakukan.
Seperkara lagi adalah saya dan rakan sepasukan mahu memberi tumpuan penuh dari minit pertama sehingga ke minit 60 permainan.
Tiada apa yang mustahil dalam perlawanan ini jika kami dapat bergerak baik bersama-sama dan mengaut peluang dalam kawasan kubu mereka. Kami tidak boleh mensia-siakan peluang jaringan seperti perlawanan lalu.”

Kepten skuad negara Fariz Harizan cuba menghalang laluan pemain Australia Cooper Burns dalam saingan terakhir Kumpulan A hari ini. Australia menang 5-2.

Guillermo Hainaut (ketua pasukan Belgium)
“Kami tidak mahu memperkecilkan kemampuan Malaysia. Sebagai tuan rumah kami menjangkakan satu halangan sukar kerana berdepan penyokong tuan rumah.
Malaysia boleh memberikan kami masalah kerana seperti kami mereka juga ada impian untuk mara lebih jauh untuk kedudukan terbaik.
Dalam pertemuan terakhir kami pada Piala Dunia Remaja 2021, kedua-dua pasukan ini seri 1-1 dalam saingan peringkat kumpulan.
Cuaca juga agak baik dan sejuk selepas hujan dan situasi ini dapat menyesuaikan kami untuk bermain baik.
Namun, selepas kecewa gagal ke suku akhir, kami sudah berikrar untuk menamatkan ranjau kami di kejohanan ini untuk mencari kedudukan terbaik, iaitu tempat ke-9. Itu adalah fokus utama kami.”