SEPANYOL NYALA IMPIAN BURU GELARAN

KEPUTUSAN
SEPANYOL…….4 PAKISTAN………2

SEPANYOL muncul pasukan keempat dan terakhir berjaya mara ke pentas separuh akhir Piala Dunia Remaja (JWC), malam ini.

Anak didik Oriol Torras Puig menewaskan Pakistan 4-2 dalam saingan rancak suku akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil untuk mengiringi Jerman, India dan Perancis yang sudah pun layak lebih awal.

Bagi hajat penonton, kebanyakannya penyokong Pakistan yang hadir mahu melihat pasukan mereka layak jelas tidak kesampaian dan pulang hampa. Kini, hanya India saja yang masih bernyawa untuk terus menyalakan impian Asia memburu kejuaraan kali ini.

Dalam saingan separuh akhir, Khamis ini, juara JWC enam kali, Jerman akan menentang juara 2001, 2016 India manakala Perancis menentang Sepanyol.

JARINGAN
Sepanyol: Pol Cabre Verdiell (minit ke-37, 45), Aleix Bozal (minit ke-38), Pablo Espino (minit ke-41)
Pakistan: Hannan Shahid (minit ke-12), Sufyan Khan (minit ke-43)

APA KATA JURULATIH
Oriol Torras Puig (ketua jurulatih Sepanyol)

“Ini perlawanan bagus. Tapi kami kurang agresif pada babak pertama dan Pakistan mengambil peluang untuk mendahului. Kami hanya menemui rentak baik pada Suku 3 dan 4. Ini satu kemenangan yang hebat untuk Sepanyol layak ke separuh akhir.

Selepas ini, kami akan bersedia untuk halangan Perancis. Mereka adalah pasukan yang membuat kejutan dalam kejohanan dan memiliki kualiti baik. Harap kami dapat sambung rentak sama ini bagi perlawanan penting Khamis ini.”

Roelant Oltmans (ketua jurulatih Pakistan)

“Kami menentang antara pasukan terbaik dalam kejohanan kali ini. Pada tahap pertandingan seperti ini pengalaman diperlukan untuk melepasi halangan besar dan kami jelas kekurangan dalam aspek ini. Sepanyol berhak memenangi perlawanan ini.

Pemain Pakistan Sufyan Khan bergeseran dengan lawan dari Sepanyol dalam aksi suku akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini. Sepanyol menang 4-2

Kami adalah antara pasukan terbaik di kejohanan tapi kali ini kami tidak dapat menyerap asakan lawan. Sepanyol lebih sempurna permainan mereka sepanjang tempoh permainan.

Kami akan berdepan Australia untuk tempat ke-5 hingga 8 dan mahu mencari penawar duka. Cabaran di sini belum habis lagi.”
KHAMIS
SEPARUH AKHIR

JERMAN lwn INDIA (6 ptg)
PERANCIS lwn SEPANYOL (8.30 mlm)
Tempat 5-8
Argentina lwn Belanda (9 pagi)
Pakistan mln Australia (11.15 pagi)