KEPUTUSAN
(Klasifikasi tempat ke-5/8)
AUSTRALIA………….7 PAKISTAN…………5
WAJAH ceria terpancar pada skuad Australia yang mendapat sedikit penawar dalam kejohanan selepas menumpaskan Pakistan 7-5 dalam saingan klasifikasi tempat ke-5 hingga lapan, tengah hari ini.
Menanggung duka gara-gara tersingkir daripada aksi suku akhir pada edisi kali ini, skuad Burras bertindak garang pada babak kedua untuk mengesahkan kemenangan sambil menutup ruang Pakistan yang sukar menembusi kubu kental lawan.
Dalam penentuan tempat kelima Sabtu ini, Australia akan menentang Belanda yang terdahulu berhempas pulas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas juara bertahan, Argentina.
Babak pertama bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan ghairah mahu mencari cengkaman awal mengerti jaringan awal penting bagi cabaran mereka.
Namun, Australia yang berjaya mendapat modal awal seawal minit ketiga hasil jaringan padang menerusi Nathan Czinner hasil satu gempuran padu.
Tapi, Pakistan – juara 1979 – tidak menunggu lama kerana selang 11 minit kemudian gawang Australia gegar hasil ledakan Abdul Qayyum untuk mengikat kedudukan.
Tersentak, anak didik Jay Stacy kembali dalam saingan dan seminit sebelum tamat babak pertama, Cambel Geddes menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk mendahului 2-1.
Babak kedua menyaksikan dominasi penuh Australia yang tampil meledakkan lima gol lagi manakala Pakistan membalas dua.
PENJARING
Australia: (Nathan Czinner, minit ke-3, 41, Cambel Geddes, m-29,37, 40 Brodee Foster,m32, 46)
Pakistan: (Abdul Qayyum, minit ke-14, 57, Umar Mustafa,m-34, Ahtisham Aslam,48, Sufyan Khan, m-60)
APA KATA JURULATIH
Jay Stacy (ketua jurulatih Australia)
“Kami lega menang kerana Pakistan bangkit pada babak kedua dan merapatkan jurang. Apa yang saya tidak puas hati adalah kami menghadiahkan beberapa gol kepada lawan, khasnya pada lewat babak permainan. Ini tidak harus berlaku.
Kami juga bermain secara terbuka selepas mendahului selesa dan jelas congakan itu kurang baik apabila Pakistan yang memiliki pemain mahir kembali dan saingan. Kami berjaya halang dan saya gembira.
Perlawanan berikut kami menentang Belanda juga dijangka satu pertarungan sengit. Kedua-dua pasukan ini bagus dan seimbang. Kami sudah bersedia.”
Roelant Oltmans (ketua jurulatih Pakistan)
“Kami kalah tapi saya tetap gembira dengan persembahan dan semangat pasukan. Pemain saya bangkit pada akhir babak kedua dan berjuang mati-matian untuk merapatkan jurang dalam Suku 3 dan 4. Saya kagum dengan perwatakan ini.
Apa yang dilihat struktur permainan kami tidak berapa bagus hari ini. Kepincangan ini menyaksikan kubu pasukan kerap bocor dan Australia menghukum kami.
Kita ada satu halangan lagi menentang Argentina untuk tempat ketujuh dan itulah fokus kami sebelum pulang.”