Keputusan Aksi Persahabatan Bukan Keutamaan- Marhan

In MAIN

Keputusan satu menang dan satu tewas pada dua aksi persahabatan sebelum kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 memberi pembelajaran berguna kepada skuad hoki lelaki negara.

Perkara itu diakui kapten Speedy Tigers, Muhammad Marhan Mohd Jalil yang menyifatkan keputusan pada dua aksi persahabatan menang ke atas New Zealand 3-2 dan tewas 1-2 ditangan Korea Selatan bukanlah menjadi keutamaan kepada pasukan.

Sebaliknya, ia memberi minit permainan kepada pemain-pemain sebelum turun beraksi dalam perlawanan sebenar, dengan perlawanan pertama menentang Pakistan Sabtu ini.

“Untuk perlawanan hari ini pemain-pemain muda menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk merebut tempat dalam senarai 18 pemain beraksi di Piala Sultan Azlan Shah.

“Sebenarnya bagi saya, keputusan perlawanan dalam dua aksi persahabatan ini bukan keutamaan tetapi ia lebih kepada memberi pemain suasana aksi sebenar.

“Saya tengok aksi ini sebagai satu persediaan, lebih kepada taktikal, kombinasi antara pemain, cara pemain membuat keputusan dan beberapa aspek lain,” katanya selepas perlawanan menentang Korea Selatan yang menyaksikan beliau dan beberapa tonggak lain direhatkan oleh pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh.

Pada perlawanan itu, gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Syed Syafiq Syed Cholan menerusi pukulan sudut penalti manakala dua gol Korea Selatan masing-masing hasil melalui jaringan padang dan pukulan sudut penalti.

Pada edisi Piala Sultan Azlan Shah kali ini, Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia akan berdepan New Zealand (No.10 dunia), Korea Selatan (No. 11), Pakistan (No. 15), Jepun (No.16) dan Kanada (No. 19).

New Zealand menjadi satu-satunya pasukan bermain di Sukan Olimpik Paris 2024 yang berada dalam kejohanan ini dan tentunya penyertaan mereka menyerikan lagi kejohanan PSAS yang bermula Sabtu ini hingga 11 Mei depan.

Dalam perkembangan sama, Sarjit berharap para peminat tempatan memberi ruang dan masa kepada skuad Speedy Tigers yang baharu dibentuk pada 19 Mac lalu melalui proses ‘perkembangan’.

Kejohanan PSAS 2024 juga menjadi ujian pertama buat Sarjit dan barisan pemain untuk melihat kemampuan pasukan selepas menjalani sesi latihan hampir dua bulan.

“Semua pihak janganlah menilai Speedy Tigers terlalu awal kerana kami sedang dalam proses membina pasukan ini, bersabarlah…biarkan pasukan berkembang secara berperingkat.

“Fokus saya membentuk pasukan ini ialah 30 bulan bermula dari sekarang dengan keutamaan adalah Sukan Asia 2026,” ujarnya.

Untuk rekod, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah mengumumkan pembubaran skuad hoki senior lelaki pada 31 Januari susulan kegagalan mencapai sasaran layak ke Olimpik Paris 2024.

Selepas berakhir PSAS, Speedy Tigers mempunyai dua lagi pertandingan tahun ini iaitu Piala Negara-negara di Gniezno, Poland pada 31 Mei hingga 9 Jun dan Piala Juara-Juara Asia, Kota Hulunbuir, Mongolia (8-17 September).

Recent Posts

Leave a Comment