New Zealand Kembali Catat Kemenangan

In MAIN

New Zealand dipaksa bekerja keras sebelum mampu menjinakkan Korea Selatan 4-1 pada aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 di Ipoh,  malam ini, yang0 tertangguh satu jam daripada waktu permulaan sebenar ekoran hujan lebat.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang Black Sticks untuk bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut ditangan Jepun 4-1 dan Malaysia 6-4 mencari rentak kemenangan.

Misi memburu kemenangan itu dimulakan seawal minit keempat menerusi gol padang George Baker.

Selepas itu, dua lagi gol berjaya diperolehi New Zealand menerusi Jonty Elmes pada minit ke-18 hasil gol padang, disusuli ledakan Jake Smith lima minit kemudian apabila menyempurnakan pukulan penalti stroke sekali gus memastikan pasukan di kedudukan ke-10 dunia itu selesa mendahului 3-0 pada babak pertama.

Bermula suku ketiga, Korea Selatan akhirnya berjaya mendapatkan gol pertama pada minit ke-39 menerusi jaringan Sim Jaewon hasil pukulan sudut penalti.

Tersentak dengan gol itu, jentera serangan New Zealand kembali mengasak benteng Korea Selatan dan hasilnya Isaac Houlbrooke meledak gol keempat buat pasukannya apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti di minit ke-53.

Aksi berbalas serangan antara New Zealand dan pasukan di ranking ke-11 dunia itu terus berlangsung sehingga penghujung permainan namun tiada gol mampu dijelmakan oleh kedua-dua pasukan.

Selepas ini New Zealand bakal mengakhiri aksi sepusingan menentang Pakistan manakala Korea Selatan bertembung dengan Malaysia, esok.

NEW ZEALAND: GREG NICOL (JURULATIH)

“Ia adalah tempoh masa yang lama terpaksa kami tunggu, hampir tiga jam tetapi ia tidak menjadi masalah untuk kami.

Bermain dalam keadaan cuaca seperti ini sangat bagus untuk kami dan pemain lebih selesa untuk beraksi berbanding pada dua perlawanan awal dalam keadaan panas.”

Kejohanan ini sedikit sebanyak membantu kami untuk persiapan di Olimpik Paris”.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN: GEORGE BAKER (NEW ZEALAND)

“Kami minum kopi sementara perlawanan bermula kerana terpaksa menunggu tempoh lama kerana hujan lebat.

Ia pengalaman yang bagus untuk kami bermain di kejohanan ini. Bagi saya dua kekalahan sebelum ini dan kembali menang menunjukkan semua pemain sentiasa mahu mencari kemenangan”.

KOREA SELATAN: MIN TAESEOK (JURULATIH)

“Terlalu banyak kesilapan dilakukan dan ia adalah perkara sama berlaku dalam setiap perlawanan, ia memberi peluang untuk pihak lawan menghukum kami.

Malaysia pasukan yang kuat dan bermain dengan sangat pantas. Kami tidak boleh memberi mereka terlalu banyak ruang jika tidak jentera serangan mereka akan menghukum kami.”

Recent Posts

Leave a Comment