Jepun berjaya menamatkan penantian selama 37 tahun untuk menjulang Piala Sultan Azlan Shah(PSAS) buat kali pertama selepas menewaskan Pakistan 4-1 menerusi penentuan penalti pada aksi final kejohanan edisi ke-30 di Ipoh, malam ini.
Untuk rekod, pencapaian terbaik diraih pasukan Samurai sejak kali pertama menyertai kejohanan itu pada tahun 1987 adalah menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2022. Ini adalah kali keenam Jepun menyertai pertaindingan ini.
Jepun sebelum kempen PSAS bermula telah menyuarakan keyakinan tinggi untuk menjulang kejuaraan buat kali pertama sejak penganjuran kejohanan itu pada tahun 1983.
Turun dengan misi memburu kejuaraan pertama, Jepun bermula positif apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi gol padang Seren Tanaka.
Kedudukan itu berjaya dikekalkan skuad Samurai sehingga berakhir babak pertama untuk mendahului Pakistan 1-0.
Memasuki suku ketiga, Pakistan mempamerkan kebangkitan menakjubkan apabila memperolehi dua gol dalam tempoh empat minit iaitu melalui ledakan gol padang pemain tengah, Ajaz Ahmad pada minit ke-34, disusuli jaringan padang Abdul Rehman pada minit ke-37.
Namun Jepun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-47 hasil gol padang Kazumasa Matsumoto untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti bagi menentukan siapa pemenang selepas aksi itu berakhir 2-2 pada masa permainan sebenar.
Pada aksi final, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) kepada juara edisi ke-30, Jepun.
Turut hadir di kejohanan tersebut adalah Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah; Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa(FIH), Datuk Tayyab Ikram; Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin.
JEPUN: YOSHIHIRO ANAI (JURULATIH)
“Kami berjaya sempurnakan misi di kejohanan ini dan saya sangat berbangga dengan semua pemain. Ia pengalaman yang sangat menarik untuk kami.
Paling penting apa yang ditunjukkan pemain-pemain dalam aksi final ini dan sepanjang perlawanan adalah semangat tidak mudah berputus asa.
Pakistan sentiasa pasukan yang bagus untuk pasukan Jepun. Mereka ingin memenangi kejuaraan begitu jua dengan kami, satu perlawanan yang sukar apabila berdepan pasukan seperti Pakistan.
Para pemain kami menyahut cabaran di untuk memenangi kejohanan ini dan banyak perkara yang kami dapat belajar di sepanjang kejohanan ini.
Persediaan untuk pasukan ini dan juga kejohanan hanya dalam tempoh seminggu. Tetapi saya memberi fokus kepada kemahiran asas setiap pemain dan merencana taktikal terbaik.
Setiap pemain diberi kerja rumah untuk mencapai cabaran yang diberikan dan saya gembira mereka berjaya memenuhinya.”
PAKISTAN: ROELANT OLTMANS (JURULATIH)
“Kami bermain seperti biasa dan sepatutnya memenangi perlawanan ini. Terdapat begitu banyak peluang untuk kami menambah jumlah gol tetapi ia tidak memihak kepada kami.
Suku pertama kami bermain dengan baik, begitu jua pada suku kedua kami mencipta banyak peluang.
Jepun juga jauh lebih baik pada suku ketiga dan tiada keraguan tentang itu. Mereka mendapat apa yang mereka layak hari ini.
Jika anda berada di final, anda mesti memenangi perlawanan akhir. Ada satu perkara. Pasukan yang menang di sini tidak akan memenangi Piala Negara-Negara dan kini kami mempunyai peluang. Kami masih mempunyai banyak perkara perlu dilakukan selepas ini.”
ANUGERAH
PENJARING GOL TERBANYAK: MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL (8 GOL), MALAYSIA
PENJAGA GOL TERBAIK:TAKASHI YOSHIKAWA/ TAKUMI KITAGAWA(JOIN, JEPUN)
PEMAIN TERBAIK KEJOHANAN: SUFYAN KHAN (PAKISTAN)
PASUKAN FAIR PLAY: KANADA
PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN (FINAL): WAHEED ASHRAF RANA (PAKISTAN)