MSSPP-PSHA Raih Kemenangan Pertama Di Divisyen 1 TNB MJHL 2024

Aksi Divisyen 1, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2024 yang memasuki perlawanan ketujuh hari ini menyaksikan tiga aksi berlangsung manakala satu lagi terpaksa ditangguh ekoran masalah cuaca.

Pada aksi di Stadium Hoki Tun Razak Jalan Duta, MSSPP-PSHA akhirnya berjaya mencatat kemenangan selepas menewaskan Akademi Hoki MBPJ 1-3.

Sepanjang enam perlawanan sebelum ini, MSSPP-PSHA hanya mampu meraih satu mata iaitu satu seri dan lima kekalahan namun hari ini, detik kemenangan yang ditunggu-tunggu akhir tiba.

Bagaimanapun, gawang MSSPP-PSHA terlebih dahulu bocor menerusi gol padang oleh Harith Danial Azhar pada minit ke-12 namun mereka bangkit dengan tiga gol masing-masing dijaringkan Putera Muhammad Basid Norhadi (m-25, gol padang), Muhammad Danish Irfan Zulkiffli (m-28, gol padang) dan Shaikh Muhammad Amin Shaik Maznan (m-60, pukulan sudut penalti).

Ketua jurulatih MSSPP-PSHA, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin jelas gembira dengan kemenangan pertama dilakar anak buahnya selepas gagal melakukan pada enam perlawanan sebelum ini.

“Bagi saya semua pemain mengikut perancangan pasukan, pemain menunjukan displin dan kemahuan untuk menang. Mereka berjaya mengurangkan kesilapan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan, malah menunjukkan peningkatan daripada segi permainan.

“Kemenangan pertama memberikan motivasi kepada semua pemain untuk mengharungi pelawanan dua perlawanan yang terakhir. Kita akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan momentum kemenangan ini,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Anderson Thunderbolts dipaksa bekerja keras sebelum menang 4-3 ke atas AHP-MSP Thunderbolts manakala SSTMI Juniors tewas 1-2 kepada SMIDIN-MSNT.

Dalam pada itu, perlawanan antara PHJ-MSNJ dan SSTMI Thunderbolts yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa ditangguh ekoran faktor cuaca dan permukaan padang yang tidak membolehkan aksi berkenaan dijalankan dan ia ditunda pada 18 Jun ini di Stadium Hoki Taman Daya.

Saingan peringkat kumpulan Divisyen 1 TNB MJHL) 2024 kini berbaki dua perlawanan sebelum juara dan lima lagi pasukan terbaik diketahui, di mana mereka akan bermain di Piala TNB 2024.

Keputusan hari ini:

ANDERSON THUNDERBOLTS 4-3 AHP-MSP THUNDERBOLTS

AKADEMI HOKI MBPJ 1-3 MSSPP-PSHA

SSTMI JUNIORS 1-2 SMIDIN-MSNT

PHJ-MSNJ lawan SSTMI Thunderbolts (ditunda)