Tiga Pemain Wanita Kebangsaan Buat Penampilan Di Liga Hoki Premier Scotland 2024

In MAIN

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini dengan berbesar hati mengumumkan tiga pemain daripada Pasukan Wanita Kebangsaan, akan menyertai Liga Hoki Premier Scotland 2024 bermula 15 September hingga 16 November 2024 bersama Kelab Hoki Uddingston.

Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin, Nurul Fatin Fatiah Azman dan Nur Afiqah Syahzani Azhar yang akan berangkat ke Scotland esok (Ahad – 1 September) bagaimanapun akan kembali ke Malaysia lebih awal pada 3 November bagi membantu Pasukan Wanita Kebangsaan yang akan beraksi di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada bulan November.

Siri Jelajah Cardiff yang telah dijalani oleh Pasukan Wanita Kebangsaan baru-baru ini menjadi batu loncatan buat tiga pemain ini apabila aksi dan bakat mereka berjaya menambat hati jurulatih Kelab Hoki Uddingston yang turut berada di Cardiff bagi menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Wales.

KHM percaya dan yakin dengan lebih banyak pendedahan seperti ini diberikan kepada pemain Wanita Kebangsaan, ia pastinya akan membantu meningkatkan lagi tahap kualiti pemain pasukan negara, sekaligus memberikan impak positif serta nilai tambah kepada pasukan Wanita Kebangsaan.

Dari Kiri : Nurul Fatin Fatiah Azman (24), Nur Afiqah Syahzani Azhar (11) dan Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin (25)

Jelas Jurulatih Pasukan Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim, ketiga-tiga pemain yang dipilih merupakan tonggak utama Pasukan Wanita Negara dan mereka telah menunjukkan peningkatan mutu permainan serta keyakinan yang sangat tinggi.

“Kami barisan kejurulatihan Pasukan Wanita Kebangsaan berharap mereka akan menggunakan peluang keemasan ini dengan sebaiknya bagi membantu meningkatkan lagi tahap permainan hoki mereka sendiri selain mengutip seberapa banyak pengalaman berguna beraksi dengan pemain-pemain Eropah.

“Pasukan Hoki Wanita Scotland antara pasukan yang terkuat di Eropah dan tentunya semua ilmu yang akan mereka bawa pulang ke Malaysia nanti akan menjadi ilmu yang sangat berguna untuk dikongsikan bersama rakan sepasukan yang lain.

“Kami barisan kejurulatihan juga percaya pengalaman mereka ini akan memberikan impak positif untuk pasukan kerana tempo permainan dan tahap hoki pasukan di Eropah adalah amat tinggi dan harapan kami tentunya mahukan mereka menterjemahkan semua ilmu yang mereka perolehi bersama pasukan kebangsaan,” jelas beliau.

Untuk rekod ini bukan kali pertama pemain Wanita Kebangsaan berjaya menambat hati jurulatih luar negara untuk beraksi di liga mereka. Sebelum ini pemain kebangsaan seperti Farah Ayuni Yahya, Nuraini Abdul Rashid, Fatin Shafika Mohd Sukri, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Hanis Nadiah Onn, Julaini Mohamad Din, Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad, pernah beraksi di liga antarabangsa.

Recent Posts

Leave a Comment