Kebangkitan Dramatik Young Tigers Benam Jepun 4-2

Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan mempamerkan kebangkitan dramatik dengan menundukkan Jepun 4-2 dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru hari ini.

 

Kemenangan itu secara tidak langsung meningkatkan motivasi barisan pemain untuk satu lagi pertemuan getir menentang Pakistan dalam aksi ketiga SOJC 2026 malam esok.

 

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin memuji persembahan positif pemainnya yang tidak mengalah dan terus berjuang dari wisel pertama sehingga tamat perlawanan.

 

“Pemain bermain dengan baik sebenarnya, cuma suku pertama dan kedua kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi akhirnya hanya memperoleh satu gol.

 

“Apabila Jepun menjaringkan gol pertama dan kita menyamakan kedudukan, kemudian mereka mendahului 2-1, kita masih mempunyai peluang. Tetapi kita dapat melihat tekanan mula dirasai kerana kita mahu menjaringkan gol.

 

“Jika kita dapat jaringkan gol daripada peluang yang ada, kita boleh menang. Sekarang mereka percaya apabila ketinggalan atau memerlukan gol, mereka mampu menjaringkannya. Perkara ini sangat positif,” katanya.

 

Jepun meraih gol pertama menerusi Matsuki Mori (m-19) sebelum Muhammad Hafiezuddin Mohd Ali menyamakan kedudukan buat Malaysia (m-27), namun skuad Samurai Biru itu kembali mendahului hasil jaringan Rintaro Sakai pada minit ke-43.

 

Baki 10 minit terakhir menyaksikan kebangkitan sebenar Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan apabila berjaya meledak tiga gol pantas dalam tempoh lima minit.

 

Ia terhasil menerusi pukulan sudut penalti Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill pada minit ke-51 dan gol padang Naaveennash Paniker S Thevendra pada minit ke-56 untuk mendahului 3-2.

 

Gol kemenangan Malaysia disumbangkan Dheeressh Gunaseelan menerusi pukulan sudut penalti beberapa saat kemudian memastikan Young Tigers menutup perlawanan dengan kemenangan 4-2.