Speedy Tigers Beri Tentangan Sebelum Tewas Kepada India

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan mencatat kekalahan pertama dalam kempen Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 selepas tewas 2-4 kepada tuan rumah India.

Meskipun tewas tetapi Speedy Tigers masih berjaya memberikan tentangan sengit kepada India yang merupakan juara bertahan Sukan Asia dalam aksi di Stadium Hoki Surjit, Punjab itu.

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan menganggap pasukannya telah menunjukkan peningkatan dari segi permainan berbanding kekalahan 1-5 kepada India pada final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bulan lalu.

“Saya fikir kami bermain dengan baik sebelum berlaku insiden kad kuning selama 10 minit. Ia sedikit sebanyak mengubah momentum dan secara tak langsung mempengaruhi perlawanan ini.

“Namun, saya fikir prestasi kami kali ini lebih baik berbanding Sukan Asia. Jurang kami dengan pasukan lawan juga semakin rapat dan kami juga telah menunjukkan peningkatan.

“Jadi, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kembali fokus serta memastikan kami meraih keputusan positif dalam dua perlawanan menentang Jepun selepas ini,” katanya.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan meraih dua gol menerusi jaringan padang Akhimullah Anuar Esook dan Shello Silverius masing-masing pada minit ke-26 serta 60.

India pula mencetak empat gol hasil ledakan hatrik Harmanpreet Singh pada minit ketiga, 33 dan 58 serta satu daripada Sukhjeet Singh (m-43).

Speedy Tigers akan melengkapkan aksi liga sepusingan menentang Jepun yang mana skuad negara berkemungkinan besar akan bertemu lagi skuad Samurai Biru itu di separuh akhir nanti.

“Jepun sedang berada pada prestasi yang baik dan mereka juga pasukan yang kuat. Tetapi bagi kami, sasaran utama adalah memastikan kemenangan ke atas mereka dalam kedua-dua perlawanan akan datang,” tambah Carolan.