Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan menyifatkan kegagalan menyudahkan peluang menjadi faktor kekalahan 1-2 kepada Jepun dalam aksi terakhir peringkat liga sepusingan Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India hari ini.
Bagi Carolan, beliau merasakan anak-anak buahnya sedikit kepenatan selepas bermain dua perlawanan berintensiti tinggi berturut-turut termasuk tewas 2-4 kepada India dalam aksi keempat ACT 2026 semalam.
“Secara keseluruhannya kami menguasai permainan dan mendahului 1-0. Kami sekali lagi memperoleh beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti yang sepatutnya membolehkan kami mendahului 2-0.
“Sebelum itu, kami juga mempunyai satu lagi peluang keemasan. Apabila berada dalam kedudukan lebih baik berbanding lawan, kita perlu mengambil peluang untuk memastikan mereka tidak mampu bangkit.
“Sudah tentu faktor keletihan memainkan peranan, lebih-lebih lagi apabila terpaksa mengharungi dua perlawanan berturut-turut dan mungkin pemain juga sudah mula memikirkan mengenai aksi separuh akhir,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Hoki Olimpik Surjit Singh itu, Speedy Tigers meraih gol pertama pada minit ke-10 menerusi jaringan padang Azrai Aizad Abu Kamal yang kembali diturunkan selepas mengalami demam panas menentang India semalam.
Malah, seminit sebelum itu, penjaga gol negara, Muhammad Zaimi Mat Deris turut bertindak cemerlang menafikan penalti stroke daripada Jepun.
Namun, Speedy Tigers gagal mengambil kesempatan untuk menambah lebih banyak gol sebelum Jepun bangkit meledak dua jaringan padang menerusi Kentaro Fukuda pada minit ke-24 dan 54 untuk memenangi perlawanan itu.
Skuad Senior Lelaki Kebangsaan berpeluang menebus kekecewaan tersebut apabila sekali lagi akan bertemu Jepun di separuh akhir pada Rabu ini dalam misi memburu tiket final.
“Sasaran ke separuh akhir berjaya dicapai. Apa yang akan membuatkan kami lebih gembira selepas ini apabila berjaya menang separuh akhir dan melangkah ke final.
“Kami juga sudah mengetahui apa yang perlu dijangkakan apabila bertemu dalam perlawanan kalah mati dan akhirnya nanti bergantung kepada pasukan mana yang lebih baik pada hari perlawanan.
“Kami boleh melupakan apa yang berlaku hari ini, tetapi perlu ambil pengajaran daripada kekalahan ini dan tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” jelas Carolan.









