Speedy Tigers Terlepas Final, Fokus Buru Tempat Ketiga

Hasrat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan beraksi di pentas final untuk kali kedua berturut-turut dalam tempoh kurang sebulan pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India tidak menjadi kenyataan.

Speedy Tigers terpaksa akur beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat esok selepas tewas 3-5 kepada Jepun menerusi penalti shoot-out setelah seri 0-0 dalam aksi separuh akhir hari ini.

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan mahu anak-anak buahnya bangkit menunjukkan reaksi lebih positif dengan sekurang-kurangnya memburu penamat podium bagi edisi kali ini.

Bagi beliau, barisan pemain telah memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan ini termasuklah kejayaan memenangi pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 awal bulan ini.

“Sasaran kami adalah untuk menamatkan kejohanan dengan membawa pulang pingat. Jadi, fokus sekarang adalah membuat persiapan bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

“Saya fikir pasukan sudah bermain dengan baik, semua pemain bekerja keras dan saya tiada rungutan terhadap persembahan mereka. Jika ada perlu diperbaiki, ia mungkin berkaitan keberkesanan pukulan sudut penalti (PC).

“Mereka sudah beraksi baik, bekerja keras dan menunjukkan disiplin yang bagus. Malangnya tiada jaminan dalam sukan dan kadangkala pasukan yang bermain baik tidak semestinya memperoleh keputusan diharapkan di hujung perlawanan,” katanya.

Di penentuan penalti shoot-out, Jepun berjaya menyempurnakan lima menerusi Kazumasa Matsumoto, Ryoma Ooka, Tanaka Tsubasa, Haruki Ochiai dan Tanaka Seren.

Speedy Tigers pula mendapat tiga melalui Nik Aiman Rozemi, Shello Silverius dan Azrai Aizad Abu Kamal selepas pengambil pertama Faizal Saari tidak berjaya menyudahkanya dalam tempoh masa diberikan.

Mengulas lanjut, Carolan percaya keputusan perlawanan akan berubah sekiranya anak-anak buahnya dapat memanfaatkan lima pukulan sudut penalti berbanding hanya satu yang diraih Jepun.

“Saya fikir keputusan perlawanan ini banyak dipengaruhi kegagalan kami menyempurnakan peluang PC pada saat-saat penting. Jika lihat kepada jumlah PC, sepatutnya kami mampu memenangi perlawanan ini.

“Kami juga sebenarnya sudah mula menjalani latihan khusus sejak Sukan Asia, namun dalam penentuan shoot-out, kadangkala nasib juga memainkan peranan pada hari perlawanan,” jelasnya.