Malaysian Tigresses akur terlepas slot final

Malaysian Tigresses akur terlepas slot final

Percubaan Skuad Senior Wanita Kebangsaan untuk mencipta sejarah mara ke final Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 buat kali pertama dalam sejarah tidak berjaya selepas tewas 2-6 kepada India di separuh akhir malam tadi.

Meskipun tewas, pujian tinggi harus diberikan kepada The Malaysian Tigresses kerana masih berjaya memberikan tentangan kepada India yang merupakan juara Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 itu.

Peningkatan permainan juga berjaya ditunjukkan Skuad Senior Wanita Kebangsaan yang mana ini kali kedua berturut-turut mereka berjaya menjaringkan gol ke atas India selepas gagal melakukannya dalam tujuh pertemuan sebelum ini.

Bagamanapun, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi pertahanan pukulan sudut penalti yang menyaksikan barisan pemain melepaskan lima gol daripada aspek itu hari ini.

Daripada 11 pukulan sudut penalti, India berjaya meledak lima gol dihasilkan oleh Muntaz Kham pada minit ke-10, Deepika (m-25, m-30), Sunelita Toppo (m-33) dan Ishika (m-57).

Baki satu lagi gol India diperoleh menerusi jaringan padang Navneet Kaur pada minit ke-18.

Skuad Senior Wanita Kebangsaan pula menyempurnakan satu daripada dua pukulan sudut penalti menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-27 selain satu lagi gol daripada jaringan padang Nuramirah Shakirah Zulkifli (m-52).

Walaupun sudah mencapai sasaran menempatkan diri dalam kelompok empat teratas Asia, namun barisan pemain masih mempunyai peluang untuk menaiki podium dengan menewaskan Jepun dalam penentuan tempat ketiga dan keempat malam ini.