Malaysian Tigress catat kemenangan pertama di Amsterdam

Selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam siri kedua Jelajah Eropah di Amsterdam Belanda, skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah akhirnya berjaya untuk meraih kemenangan pertama mereka selepas menewaskan HGC, 2-0 semalam.

Hanis Nadiah Onn muncul penjaring tunggal buat skuad negara dalam perlawanan kelima di Amsterdam itu.

Dalam aksi separuh masa pertama, Hanis membuka tirai jaringan skuad negara pada minit ke 20 menerusi jaringan padang dan jaringan tersebut berlarutan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Hanis sekali lagi menceriakan skuad negara dengan jaringan keduanya lima minit selepas aksi suku ketiga bersambung, juga menerusi jaringan padang.

Walaupun dihadiahkan dengan tiga pukulan sudut penalti, namun skuad negara gagal untuk menukar pukulan tersebut kepada jaringan dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysian Tigress mempunyai baki tiga lagi perlawanan sebelum berangkat pulang ke tanah air pada 29 April ini.

Aksi keenam menyaksikan pasukan PINOKE bakal menanti skuad negara.