TNB-1Mas Kejohanan Hoki B-14: Sabah Kekal Terajui Kumpulan C

Kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada perlawanan TNB-1Mas Kejohanan Hoki Kebangsaan Bawah 14 tahun yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan dua jaringan daripada Haziq Haiqal Daus nyata membantu Sabah untuk kekal menerajui kumpulan C. Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 apabila Haziq Haiqal bijak untuk memperdaya penjaga gol Kuala Lumpur menerusi jaringan padang. Minit ke-36, Haziq Haiqal sekali lagi merobek gawang Kuala Lumpur kali ini menerusi pukulan sudut penalti. Enam minit sebelum masa perlawanan sebenar tamat, Kuala Lumpur dihadiahkan dengan pukulan penalti dan Danish Hifzhan Azrul tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan pukulan tersebut. Mengulas mengenai dua kemenangan berturut-turut yang telah diperolehi oleh Sabah dalam aksi Kumpulan C, pengendali mereka, Hasrul Jideh masih belum 100 peratus berpuas hati dengan prestasi yang telah ditampilakan oleh pemainnya dan mahu meneliti kelemahan yang masih ada pada pasukan untuk diperbaiki. “Walaupun kami telah mencatatkan dua kemanangan tetapi saya melihat masih ada ruang yang perlu diperbaiki kerana saya melihat pemain masih mencari keserasian dengan keadaan padang serta penampilan pemain muda yang boleh dikatakan tahap keyakinan mereka masih belum cukup tinggi. “Setakat ini pemain telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk memenangi setiap perlawanan, bagaimanapun saya belum 100 peratus berpuas hati dengan prestasi pemain saya dan saya akan cuba untuk memperkemaskan lagi pasukan,” ujar Hasrul yang ditemui selepas tamat perlawanan. Dalam pada itu, Hasrul juga menyatakan tahap kebimbangannya mengenai kecederaan yang mungkin boleh dialami oleh pemainnya sambil mengharapkan pemain akan beraksi dengan cemerlang pada perlawanan ketiga menentang Terengganu walaupun mungkin corak permainan mereka akan lebih berhati-hati. “Saya mengharapkan tidak akan berlaku banyak kecederaan kerana kejohanan berbentuk karnival mendedahkan pemain dengan kecederaan. “Kami akan berusaha untuk mencari kemenangan pada perlawanan ketiga tetapi dalam masa yang sama akan berhati-hati supaya pemain tidak terdedah dengan kecederaan kerana kecederaan merupakan perkara yang paling saya bimbangkan setakat ini. “Pada perlawanan pertama ada beberapa pemain saya telah mengalami kecederaan walaupun tidak serius tetapi saya kalau boleh tidak mahu ianya berulang lagi kerana akan memberikan kesan kepada pasukan.” jelasnya. Sementara itu aksi Kumpulan A yang menemukan dua pasukan daripada utara tanah air, Perlis dan Pulau Pinang berkesudahan dengan Perlis terus mengutip tiga mata penuh menerusi dua jaringan padang Muhd Farid Kodir pada minit ke-17 dan 49. Tiga mata pertama yang dikumpul Perlis juga menyaksikan mereka mempunyai kelebihan satu perlawanan untuk terus mengejar Pahang yang telah beraksi dua perlawanan bagi merebut kedudukan teratas kumpulan A. Lain-lain keputusan kategori lelaki: Group A: Pahang 2-0 Melaka Group B: Singapura 1-5 Selangor dan Johor 2-2 Perak Group C: Kedah 1-2 Negeri Sembilan Lain-lain keputusan kategori perempuan: Group A: Perlis 1-0 Singapura dan Pahang 4-2 Terengganu Group B: Melaka 4-0 Sarawak Group C: Pulau pinang 1-0 Perak dan Kuala Lumpur 1-0 Negeri Sembilan