TNB LHM 2019: TNB Tundukkan Pasukan Adik 8-0

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan kemenangan kelapan dalam aksi kesepuluh mereka di saingan Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia 2019 selepas tidak berdepan masalah untuk menjinakkan pasukan “adik” TNB-Thunderbolts 8-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.

Selepas sepuluh perlawanan dilalui, TNB kekal di kedudukan kedua dengan 24 mata dibelakang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mengumpul 25 mata selepas sembilan perlawanan dan tiada aksi yang melibatkan pasukan UniKL hari ini.

Aksi di suku pertama menyaksikan TNB dan TNB-Thunderbolts saling melancarkan serangan untuk mendapatkan gol awal dan menerusi satu sudut yang agak sempit pada minit kelapan, Norsyafiq Sumantri menghadiahkan gol pertama untuk TNB.

Berselang tiga minit kemudian, menerusi situasi satu lawan satu di antara Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan penjaga gol TNB-Thunderbolts, Hairi Abdul Rahman, Akhimullah berjaya untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan itu untuk TNB terus dihadapan 2-0 dan beberapa saat sebelum aksi suku pertama berakhir, TNB-Thunderbolts mempunyai peluang untuk merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti namun gagal untuk disempurnakan dengan baik.

TNB-Thunderbolts menerima dua lagi pukulan sudut penalti pada suku kedua namun kelebihan tersebut masih buntu untuk diterjemahkan kepada jaringan malah TNB dilihat terus melebarkan sayap apabila beberapa saat sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan, Faiz Helmi Jali muncul penjaring ketiga buat TNB.

Bersambung suku ketiga, TNB-Thunderbolts hampir memecah kebuntuan jaringan menerusi Muhammd Muhibuddin Moharam namun percubaannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol kedua TNB, Che Shahrul Azim Che Saupi yang masuk menggantikan S.Kumar yang mengalami kecederaan ketika di suku kedua.

TNB-Thunderbolts dilihat terus berusaha melancarkan serangan ke kubu TNB dan mereka dihadiahkan dengan tiga lagi pukulan sudut penalti pada suku ketiga tetapi mereka masih terus tercari-cari cara terbaik untuk menukar kelebihan tersebut kepada jaringan dan sebaliknya menerusi satu serangan balas yang diatur, TNB berjaya meledak gol keempat pada minit ke-38 hasil jaringan Muhammad Noor Firdaus Rosdi.

Jaringan kelima TNB hadir pada minit ke-51 selepas bola yang dihantar oleh Norsyafiq berjaya menemui Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Nik Aiman melakukan satu pukulan ke sebelah kanan pintu gol TNB Thunderbolts untuk jaringan terhasil.

Tiga minit terakhir TNB menambah tiga lagi gol dua menerusi Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-57 dan ke-58 sementara Akhimullah melengkapkan jaringan kelapan buat TNB dan juga kedua peribadinya untuk perlawanan hari ini beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.

Sementara itu, Terengganu Hockey Team (THT) turut mencatatkan kemenangan 5-2 menewaskan Maybank pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk dan kemenangan yang diraih THT hari ini menyaksikan mereka berjaya untuk melebarkan jurang mata keseluruhan untuk kekal di kedudukan ketiga dengan 19 mata sementara Maybank di kedudukan keempat dengan 15 mata.

THT membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Mohd Shahrun Nabil Abdullah dan berselang dua minit kemudian giliran Jang Jonghyun untuk muncul penjaring juga menerusi pukulan sudut penalti.

Maybank yang ketinggalan dua gol bagaimanapun bangkit mengikat kedudukan pada suku kedua menerusi pukulan stroke yang disempurnakan kapten pasukan Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-14 dan minit ke-22 menerusi pukulan sudut penalti, Meor Muhamad Azuan Hasan menjaringkan gol penyamaan.

THT bagaimanapun berjaya bangkit untuk mencatatkan kemenangan apabila tiga gol ditambah pada suku ketiga dan keempat masing-masing menerusi jaringan padang Jung Manjae pada minit ke-43 dan dua gol Faizal Saari menerusi pukulan stroke dan penyudahan pukulan sudut penalti pada minit ke-54 dan ke-58.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang berkesudahan dengan pasukan pelawat, Universiti Teknologi Mara, (UITM) mengecewakan tuan rumah, Nurinsafi/Kedah Hockey menerusi jaringan tunggal Kamaruddin Kodir Beraheng pada minit ke-40 untuk membawa pulang tiga mata yang cukup berharga.

Recent Posts

Leave a Comment