Juara Bertahan Tumbang Dalam Aksi Pembuka Tirai

Misi pasukan Perak untuk mempertahankan gelaran dalam kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 direntap dengan kekalahan 1-3 kepada Johor bagi aksi pembuka tirai Divisyen 1 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Saingan bagi kumpulan A ini menyaksikan Perak memburu gelaran kelima dalam tempoh enam tahun dan bermula baik hasil jaringan padang Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-7.

Begitupun Johor yang dikendalikan oleh Sarjit Singh memberikan tentangan dan hasilnya seminit kemudian Muhammad Firdaus Fauzi mengikat kedudukan.

Johor kemudian menambah dua lagi jaringan menerusi Muhammad Saifuddin Azli dan Shelio Silverius bagi memastikan kemenangan memihak kepada skuad kendalian Sarjit Singh.

Terdahulu pada sebelah petang berlangsung perlawanan kumpulan A antara PDRM menentang Melaka.

Jaringan padang masing-masing oleh Amirullah Zainol serta Muhammad Ashraf Zuhry Mahat memastikan kemenangan memihak kepada Melaka.

Manakala Perlis tidak berdepan kesukaran apabila menewaskan Kelantan 9-0 dalam aksi Divisyen 2 sambil dibantu oleh empat jaringan oleh Najmi Farizal Jazlan.

 

Turut mencatat kemenangan adalah pasukan Negeri Sembilan yang mengatasi cabaran pasukan Kedah sebelum menutup saingan dengan keputusan 5-0 manakala Selangor memperoleh kemenangan tipis 2-1 ke atas ATM.

 

Kategori Wanita menyaksikan juara bertahan, Kuala Lumpur mencatat kemenangan 5-0 ke atas Pulau Pinang dalam aksi pembuka tirai kumpulan A.

Qasidah Najwa Muhd Halimi memperoleh dua jaringan menerusi gol padang pada minit ke 15 dan 32 manakala Nur Amirah Jasmi Apindi, Nur Arisha Muhammad Asrul Effandi serta Nur Zafirah Aziz masing-masing peroleh jaringan bagi membantu kemenangan Kuala Lumpur.

Satu lagi perlawanan kumpulan A menyaksikan PDRM melakar menewaskan Johor dengan keputusan 3-1 hasil jaringan Noor Hasliza Mohd Ali, Fazilla serta Nor Baini Hashim.

Recent Posts

Leave a Comment