Malaysia Tewas Kepada Korea Selatan

Aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Korea Selatan kembali bersambung hari ini dan untuk pertemuan ketiga yang berlangsung di Pusat Latihan Kebangsaan, Jincheon Korea Selatan, Malaysian Tigers tunduk 0-2 kepada tuan rumah.

Korea Selatan membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi gol padang yang dijaringkan oleh Hyeongjin sebelum Jang Jong-hyun terus mencatat nama selaku penjaring dalam aksi persahabatan ini menerusi gol penalti stroke pada minit ke-33.

Jaringan gol antara element yang menjadi perhatian pengendali negara, Roelant Oltmans dalam siri persahabatan ini selain mengharapkan pemainnya akan menampilkan satu persembahan yang berbeza pada pertemuan terakhir esok.

“Kami tewas 0-2 hari ini dan jaringan gol masih menjadi kebimbangan saya tetapi apa yang saya lihat apabila kami ketinggalan, pemain tidak bermain dengan konsistan lagi.

“Kesilapan mula dilakukan dan kami seakan hilang rentak dalam permainan. Jadi untuk aksi terakhir esok apa yang saya harapkan ialah pemain akan mempamerkan persembahan yang lain daripada hari ini,” jelasnya ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.

Esok merupakan pertemuan terakhir skuad negara dengan Korea Selatan bagi siri persahabatan yang diatur dan mereka akan turun beraksi jam 3.30 petang waktu Malaysia.

Recent Posts

Leave a Comment