Pastikan Kemenangan Diraih Menentang New Zealand

In MAIN

Tiada pilihan buat skuad remaja bawah 21 tahun negara melainkan kemenangan ke atas New Zealand pada aksi ketiga kejohanan Piala Sultan Johor 2019 andai mahu laksanakan sasaran duduki kelompok tiga terbaik pada edisi kali ini.

Dua aksi sebelum ini bertemu India dan Australia menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin kempunan untuk meraih mata penuh meskipun mendahului lawan.

Berdepan India, Malaysia terlebih dahulu mengatasi lawan dengan dua jaringan sebelum akur dengan kekalahan 2-4.

Manakala bolos pada minit-minit akhir permainan menentang Australia menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Lantas pertemuan dengan New Zealand pada Selasa bakal menjadi penentu sama ada Malaysia mampu untuk sekurang-kurangnya perbaiki pencapaian tahun lalu iaitu tempat kelima keseluruhan.

“Jika dilihat dari aspek positif, pemain kita menunjukkan mereka dapat bersaing dengan pasukan seperti India dan Australia cuma masih belum dapat kekal konsisten.

“Tempoh rehat sehari ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengenalpasti kelemahan yang perlu diatasi dan kami akan cuba untuk kekalkan corak permainan yang serupa bagi pertemuan dengan New Zealand,” jelas Nor Saiful.

Seperti juga Malaysia, New Zealand masih menantikan kemenangan yang diharapkan selepas tumpas kepada Great Britain dan India.

Kekalahan kepada India pada Ahad pastinya amat perit untuk diterima kerana gawang New Zealand dibolosi sebanyak 8 kali dan itu pastinya sesuatu yang mahu dieksploitasikan skuad negara.

Perlawanan lain pada Selasa menyaksikan Great Britain menentang Australia manakala Jepun berdepan India dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Recent Posts

Leave a Comment