Kejohanan Piala Dunia Wanita dan Lelaki 2022 / 2023: Benua Asia Dapat Satu Kuota Tambahan

In MAIN

Keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menambah kuota pasukan di Kejohanan Piala Dunia Wanita dan Lelaki yang akan berlangsung pada 2022 dan 2023 bagi negara-negara daripada Benua Asia pastinya menjadi satu berita yang cukup menggembirakan buat Skuad Hoki Lelaki Negara.

Sebelum ini, FIH hanya memperuntukkan tiga kuota kepada negara daripada Benua Asia namun berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh badan induk hoki antarabangsa itu baru-baru ini menyaksikan satu kuota tambahan diberikan.

Selain itu, tujuh slot akan menjadi rebutan buat negara daripada Benua Eropah menerusi Kejohanan Piala Eropah sementara baki tiga slot akan dipilih menerusi juara dari Afrika, Ocenia dan Pan Amerika.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Arul Selvaraj merasakan situasi Pandemik Covid-19 yang kini melanda dunia antara faktor yang diambil kira oleh FIH dalam membuat keputusan untuk menambah kuota tersebut.

“Tindakan yang diambil oleh FIH pastinya satu tindakan yang bagus dan ia juga berkemungkinan ekoran Pandemik Covid-19 dan banyak kejohanan tidak dapat dijalankan selain jumlah pertandingan yang kurang membuatkan keputusan tersebut mungkin dibuat.

“Setiap negara daripada Benua Asia pastinya mahu menggunakan kelebihan yang telah diberikan oleh FIH ini dan setakat ini dari segi prestasi antara negara-negara dari Benua Asia sukar untuk dinilai ekoran tiada kejohanan yang berlangsung.

“Saya juga percaya ketika ini semua negara berdepan dengan masalah yang sama iaitu sukar untuk mendapatkan pertandingan yang kompetitif,” jelasnya.

Dalam pada itu, Arul turut mengingatkan pemain-pemain untuk menampilkan aksi yang terbaik ketika di Saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2021 (TNB MHL 2021) kerana ia juga akan digunakan beliau bagi menilai prestasi setiap pemain kebangsaan menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh yang dijadualkan bermula 11 hingga 19 Mac 2021.

“Sepanjang sesi latihan, saya telah menerapkan pendekatan memperkasa pemain jadi mereka perlu mengambil tanggungjawab itu untuk melakukan yang terbaik ketika saingan liga.

“Semuanya terletak di tangan pemain sendiri untuk mereka menonjolkan diri dalam saingan itu nanti juga keinginan untuk menang dan menujukkan prestasi yang baik,” tambahnya lagi.

Recent Posts

Leave a Comment