TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 (WANITA): Negeri Sembilan, KPT-Uniten Thunderbolts Sukar Digugat

Berbaki empat perlawanan, Negeri Sembilan dan KPT-Uniten Thunderbolts terus mengikat kedudukan di puncak liga selepas masing-masing mencatatkan kemenangan selesa pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 (Wanita) hari ini.

KPT Uniten Thunderbolts mengekori rapat Negeri Sembilan yang mendahului liga hanya berdasarkan perbezaan jaringan gol apabila mencatat kemenangan 7-0 ke atas Sarawak Ladies.

Sementara Negeri Sembilan yang terus kekal tanpa kalah sehingga kini, memastikan kemenangan menerusi tiga gol pada suku pertama untuk mengatasi National Development Team (NDT) 3-1 sekaligus mengumpul 19 mata keseluruhan.

Negeri Sembilan kini sudah menjaringkan 42 gol berbanding KPT-Uniten yang menjaringkan 26 jaringan gol setakat ini.

Siti Nur Arfah Mohd Nor (minit ke-20, 31) dan Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad (minit ke-37, 53) masing-masing menyumbang dua gol untuk membantu kemenangan bagi memastikan KPT-Uniten Thunderbolts terus berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan.

Rabiatul Adawiyah Azhar sebelum itu membuka tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-9 sebelum Nur Aisyah Yaacob menambah gol pada minit ke-17 dan Dayang Nuramirah Abang Mahadini pada minit ke-44.

Sementara aksi yang melibatkan pasukan Negeri Sembilan, Nuraini Abdul Rashid meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada minit ketiga hasil gol pukulan sudut penalti sebelum Hanis Nadiah Onn menggandakan jaringan menerusi gerakan padang pada minit kelima.

NDT cuba untuk bangkit mengejar apabila Nur Amirah Jasmi Apindi menjaringkan gol padang pada minit ketujuh dan kedudukan 2-1 berpihak Negeri Sembilan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun harapan NDT untuk cuba sekurang-kurangnya mencuri satu mata daripada perlawanan tersebut tidak kesampaian apabila Hanis Nadiah Onn sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minti ke-32 dan kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Dengan jumlah keseluruhan 19 mata yang telah dikumpul oleh Negeri Sembilan dan KPT-Uniten Thunderbolts, mereka tampak sukar digugat oleh pasukan lain dengan pesaing terdekat Sabah kini jauh ketinggalan pada kedudukan ketiga dengan 9 mata.

Sabah hari ini dikejutkan dengan tewas kepada Mutiara Impian-MSSPP-PSHA 2-1 yang sekaligus menyaksikan ia merupakan kemenangan pertam buat pasukan daripada Pulau Pinang itu.

Dua gol Siti Nur Atika Shaikh Maznan pada minit ke-15 dan 16 dan sudah cukup buat Mutiara Impian-MSSPP-PSHA meraikan kemenangan pertama mereka.