Kejohanan Hoki 5’s Kebangsaan 2022 : Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu Ke Suku Akhir Bagi Kumpulan A

Selepas berakhirnya saingan peringkat Kumpulan A, Kejohanan Hoki 5’s Kebangsaan 2022 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini, empat pasukan terbaik Kumpulan A, Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu melangkah ke pusingan suku akhir dan menanti lawan mereka daripada Kumpulan B.

Kuala Lumpur telah pasti mengisi satu slot di Suku Akhir bagi Kumpulan B dan hanya menanti tiga lagi pasukan yang akan melengkapkan perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B, pagi esok.

Dua kemenangan ke atas Perak 6-2 dan Kedah 2-1 meletakkan Pahang selaku pasukan teratas Kumpulan A dan akan bertemu dengan pasukan yang berada di kedudukan keempat Kumpulan B, sama ada Melaka atau Selangor.

Tewas di tangan Pahang, Kedah yang dibezakan dengan jumlah gol bersama Pahang terpaksa akur di kedudukan kedua walaupun turut mengumpul 10 mata selepas tamat saingan peringkat kumpulan A.

Kemenangan besar 6-1 ke atas Perlis dan 4-3 mengatasi Terengganu memastikan Kelantan menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan ketiga dan menanti pasukan di kedudukan kedua Kumpulan B bagi mencabar slot separuh akhir.

Sementara Terengganu yang berkedudukan keempat kumpulan A akan berdepan Kuala Lumpur yang muncul selaku pasukan teratas Kumpulan B dan kedudukan Kuala Lumpur tidak mampu lagi untuk dicabar oleh mana-mana pasukan lain.

Kejayaan mengatasi Negeri Sembilan 5-0 dan terikat 3-3 dengan Pulau Pinang pada saingan Kumpulan B sudah cukup untuk Kuala Lumpur menamatkan enam perlawanan Kumpulan B selaku pendahulu.

Selepas lima perlawanan, Sabah kini dikedudukan kedua dengan 12 mata hasil kemenangan 4-0 ke atas Sarawak dan menewaskan Sleangor 6-3.

Pulau Pinang pula hanya dipisahkan satu mata dengan Sabah mengutip tiga mata menewaskan Melaka 4-0 dan satu mata hasil keputusan seri 3-3 ketika bertemu Kuala Lumpur, hari ini.

Pertemuan antara Sabah dan Pulau Pinang yang berlangsung esok pastinya akan menjadi tumpuan kerana Sabah hanya memerlukan keputusan seri untuk melengkapkan aksi kumpulan di kedudukan kedua sementara Pulau Pinang memerlukan kemenangan untuk menutup pusingan peringkat kumpulan di tangga kedua.

 

KEPUTUSAN PENUH:

 

KUMPULAN A

Kelantan 6-1 Perlis

Pahang 6-2 Perak

Terengganu 3-4 Kedah

Perak 2-3 Perlis

Kelantan 4-3 Terengganu

Pahang 2-1 Kedah

 

KUMPULAN B

Sarawak 0-4 Sabah

Pulau Pinang 4-0 Melaka

Negeri Sembilan 0-5 Kuala Lumpur

Kuala Lumpur 3-3 Pulau Pinang

Melaka 4-1 Sarawak

Sabah 6-3 Selangor