Sebagai persediaan bagi menghadapi Kejohanan-Kejohanan besar termasuk Piala Sultan Azlan Shah 2022 yang akan membuka tirai secara rasmi pada 1 hingga 10 November 2022 ini, satu Program Pemantapan Pasukan atau “team building” telah diatur buat Skuad Senior Lelaki Kebangsaan di Lenggong, Perak.
Program yang dijalankan di Amazing Camp Legacy: Legends By Nature, di Kampung Danglang,Kuak, Lenggong, Perak itu merupakan satu inisiatif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membantu 26 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan melakukan persediaan mental dan fizikal di luar latihan hoki dan juga latihan kebiasaan yang mereka lalui.
Jelas Ketua Jurulatih, Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Coach A. Arulselvaraj, program yang dijalankan ini akan memberikan manfaat yang banyak kepada anak-anak buahnya terutamanya dari sudut kepentingan untuk mempercayai satu sama lain, menyerap tekanan yang ada sebagai satu pasukan dan mencari jalan menyelesaikan setiap masalah serta kerjasama dalam menghadapi setiap cabaran yang datang.
“Ini merupakan kali pertama kami menjalani Program Pemantapan Pasukan atau “team building” di mana tujuannya adalah untuk mengcungkil emosi pemain dan maruah atau jati diri mereka bagi memberikan semua yang dimiliki apabila beraksi untuk Malaysia.
“Faktor-faktor yang akan membantu pemain daripada program ini ketika mereka beraksi di atas padang nanti adalah kepercayaan antara satu dengan yang lain, kerjasama sebagai satu pasukan, dan memikul tanggungjawab atas setiap tugasan yang diberikan sama ada secara individu mahupun sebagai satu pasukan.
“Apa yang pemain akan capai selepas tamat program ini adalah semangat patriotism dalam diri mereka, maruah untuk mempertahankan pintu gol demi negara dan mencari kemenangan.
“Semuanya amat berkait dengan pemikiran pemain untuk mencari kemenangan, memberikan apa sahaja yang mereka miliki demi kemenangan dan paling penting tidak takut kepada apa-apa halangan yang ada,” jelas beliau.
Amazing Camp Legacy: Legends By Nature, di Kampung Danglang,Kuak, Lenggong, Perak merupakan tapak perkemahan yang telah diilhamkan oleh seorang veteran Vat69 Komando yang juga merupakan mantan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun.
