Edaran Media

Dukacita dimaklumkan bahawa salah seorang pelatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang juga merupakan peserta Program Klinik Penjaga Gol NHDP yang dikendalikan oleh AHF/MHC/PHA/Akademi Hoki Raja Ashman  di Ipoh, Perak telah meninggal dunia pagi ini. Maklumat pelatih/peserta tersebut seperti berikut:- Nama : Bill Wolfson Anak Lianie Umur:   14 tahun Sekolah : SMK Penrissen, Kuching, Sarawak Pusat  : Pusat Latihan Daerah (PLD), NHDP, Kuching, Sarawak   Mendiang bersama rakannya baru selesai mandi pagi apabila Mendiang mengadu tidak selesa dan berasa akan pitam. Mendiang dengan tiba-tiba rebah dalam biliknya. Pengurusan NHDP telah memanggil ambulan dan bantuan CPR telah dilakukan. Seterusnya, Mendiang telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan selepas cubaan menyelamatkannya dilakukan, Mendiang telah disahkan meninggal dunia dan sehingga kini tidak dapat dipastikan punca kematiannya. Mendiang Wolfson adalah salah seorang penjaga gol di PLD NHDP di SMK Penrissen, Kuching terpilih mengikuti klinik penjaga gol yang dikendalikan oleh NHDP di Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Ipoh pada 5-6 November 2022 sempena penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022. Mendiang ditemani oleh Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sarawak Cik Wilina Mac Carina Anak Wilson Pihak keluarga telah pun dihubungi dan pihak Pengurusan NHDP masih sedang berurusan dengan pihak hospital mengenai pengurusan jenazah. Ibu saudara Mendiang Wolfson sedang dalam perjalanan ke Ipoh bagi membantu kelancaran pengurusan jenazah Mendiang Wolfson. Adalah dijangkakan Mendiang Wolfson akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak bagi urusan pengkebumiannya. YB Dato Seri Ahmad Faizal Dato Azumu yang merupakan Menteri Belia dan Sukan yang sepatutnya melakukan perasmian Majlis Penutupan Klinik Penjaga Gol tersebut pagi ini turut terkejut dan berdukacita dengan berita kematian Mendiang tersebut. Beliau turut mengarahkan Pengurusan Majlis Sukan Negara, Persekutuan Hoki Malaysia dan NHDP yang telah pun berada di Ipoh bagi memudahkan pengurusan. Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal bersama Timbalan Presiden KHM, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan KHM, Prof. Dato’ Dr. S. Shamala dan Presiden Persatuan Hoki Negeri Perak, Tuan Haji Sayuti Abdul Samat, turut berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menguruskan Jenazah Mendiang serta menanti ahli keluarga Mendiang untuk tiba. Pihak Kerajaan Negeri Perak melalui Majlis Sukan Negeri Perak turut membantu pengurusan jenazah. Kesemuanya termasuk rakan-rakan sepelatihnya yang mengikuti klinik tersebut berasa amat dukacita dan merakamkan ucapan Takziah kepada keluarga Mendiang dan Persatuan Hoki Negeri Sarawak.