Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, yang dipengerusikan oleh Dato’ Najmi Razak hari ini secara rasminya mengumumkan barisan 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan ke Kejohanan FIH Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan.
Kejohanan yang akan membuka tirai pada 28 November hingga 4 Disember 2022 itu menyaksikan Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan B bersama Kanada, Korea Selatan dan Jepun selain format kejohanan menyaksikan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan ke separuh akhir bagi merebut slot final, sekaligus mencabar gelaran juara edisi pertama dan slot ke Kejohanan FIH Liga Pro (Pro-League) 2023/2024.
Menerusi senarai 20 pemain ke Afrika Selatan, Malaysia akan menampilkan empat pemain yang tidak beraksi di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022, baru-baru ini dan perkara tersebut telah dikongsikan dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Pengurus Pasukan, Dato’ Mirnawan Nawawi serta Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan A. Arulselvaraj, hari ini.
Empat pemain tersebut ialah penjaga gol, Adrian Andy Albert, pemain pertahanan, Syarman Mat Tee (yang masih belum mengumpul sebarang caps bersama Skuad Senior Kebangsaan) dan dua pemain bahagian serangan iaitu Faizal Saari (yang baru kembali daripada Belanda selepas beraksi bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde dalam Liga Utama Belanda) serta Muhamad Ramadan Rosli.
Kecederaan yang dialami olehh penjaga gol Mohd Zaimi Mat Deris dan pertahanan Muhammad Syafiq Hassan pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini menyaksikan tempat mereka akan diisi oleh Adrian Andy Albert (penjaga gol) dan Syarman Mat Tee (pertahanan).
Sementara itu tiga lagi pemain yang telah dilanda kecederaan sebelum ini iaitu, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Shahril Saabah dan Muhajir Abdu Rauf, kini masih dalam proses pemulihan dan mengikuti program pemulihan yang telah disediakan buat mereka.
Walaupun setiap pasukan dibenarkan untuk membawa 20 pemain dalam Kejohanan Nations Cup 2022, namun hanya 18 pemain akan didaftarkan sebagai pemain utama sementara dua pemain akan diletakkan di dalam keadaan bersiap sedia untuk menggantikan mana-mana pemain sekiranya berlaku sebarang kecederaan atau risiko jangkitan Covid-19.
Pengendali Negara, A.Arulselvaraj menjelaskan senarai 18 pemain tersebut hanya akan diputuskan selepas Malaysian Tigers tiba di Potchefstroom, Afrika Selatan selain tugas selaku Kapten Pasukan bagi kejohanan ini akan terus digalas oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Skuad negara akan berlepas ke Potchefstroom, pada esok (Selasa – 22 November) jam 7.00 malam dan kembali ke Malaysia pada 5 Disember 2022 (Isnin).
Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan FIH Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2022, Potchefstroom, Afrika Selatan.
Perlawanan Melibatkan Pasukan Malaysia (Peringkat Kumpulan B)
** Waktu perlawanan adalah waktu Malaysia
NO | NAMA | POSISI | NO JERSI | UMUR |
1 | Muhammad Hafizuddin Othman | Penjaga Gol | 21 | 30 |
2 | Adrian Andy Albert | Penjaga Gol | 19 | 25 |
3 | Muhammad Razie Abd Rahim | Pertahanan | 17 | 35 |
4 | Muhammad Najmi Farizal Jazlan | Pertahanan | 25 | 27 |
5 | Zulpidaus Mizun | Pertahanan | 28 | 26 |
6 | Muhammad Aminuddin Mohd Zain | Pertahanan | 12 | 27 |
7 | Muhammad Najib Abu Hassan | Pertahanan | 2 | 27 |
8 | Syarman Mat Tee | Pertahanan | 7 | 21 |
9 | Muhammad Firhan Ashaari | Tengah | 13 | 29 |
10 | Faiz Helmi Jali | Tengah | 18 | 30 |
11 | Meor Muhammad Azuan Hassan | Tengah | 20 | 28 |
12 | Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi | Tengah | 24 | 26 |
13 | Muhammad Amirul Hamizan Azahar | Tengah | 29 | 22 |
14 | Norsyafiq Sumantri | Penyerang | 22 | 26 |
15 | Mohamad Ashran Hamsani | Penyerang | 8 | 27 |
16 | Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim | Penyerang | 14 | 21 |
17 | Shello Silverius | Penyerang | 15 | 23 |
18 | Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal | Penyerang | 23 | 23 |
19 | Faizal Saari | Penyerang | 10 | 31 |
20 | Muhamad Ramadan Rosli | Penyerang | 4 | 31 |
NO | TARIKH / HARI | MASA | PERLAWANAN |
1 | 28 NOVEMBER (ISNIN) | 7:00 MALAM | MALAYSIA lwn KOREA SELATAN |
2 | 29 NOVEMBER (SELASA) | 7:00 MALAM | KANADA lwn MALAYSIA |
3 | 01 DISEMBER (KHAMIS) | 7:00 MALAM | MALAYSIA lwn JEPUN |