Aksi kedua Pusingan Round Robin, Acara Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita, Temasya Sukan SEA 2023, Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar menyaksikan Pasukan Lelaki dan Wanita Negara tidak berdepan masalah menundukkan lawan mereka, Filipina.

Pasukan Wanita Negara yang turun terlebih dahulu membenam cabaran lawan mereka 12-0 sementara Pasukan Lelaki Negara pula berpesta gol menewaskan lawan, 19-0, sekaligus meletakkan kedua-dua pasukan negara berada di kedudukan teratas carta.

Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Dalam Dewan Wanita, Mohd Badrul Hisham Osman gembira dengan persembahan yang telah ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dan puas hati kerana pemain berjaya memperbaiki kelemahan pasukan pada perlawanan pertama.

“Syukur Alhamdulillah atas dua kemenangan berturut-turut dan setiap tiga mata adalah sangat penting. Saya gembira kerana pemain bermain mengikut apa yang telah dirancang dan mereka menunjukkan peningkatan pada perlawanan hari ini.

“Saya juga gembira kerana pemain memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki dan memperbaiki kesilapan pada perlawanan pertama selain berusaha memberikan yang terbaik.

“Kami tahu pencabar utama kami ialah Thailand, namun kami akan tetap berusaha sehabis baik untuk pertemuan dengan mereka esok. Kami akan lakukan sedikit perubahan untuk perlawanan dengan Thailand dan kami akan berusaha untuk memastikan tiga mata berjaya diperolehi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim menyifatkan perbezaan gol dan jaringan yang besar amat penting dalam kejohanan ini bagi memastikan sebarang perkara yang tidak dimahukan dapat dielakkan.

“Alhamdulillah di perlawanan kedua kami memperolehi kemenangan dengan jaringan yang besar namun apa yang penting adalah tiga mata penuh yang berjaya dikutip untuk meletakkan Malaysia dikedudukan teratas carta.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan apa yang telah ditampilkan oleh pemain kerana setiap perbincangan yang dilakukan bagi memperbetulkan kelemahan, telah mereka terjemahkan di dalam perlawanan selain menunjukkan komitmen yang begitu baik sekali.

“Untuk aksi hari ini, kami memanfaatkan perlawanan ini untuk mempertajamkan kelemahan-kelemahan yang dilihat pada perlawanan semalam dan kami juga menggunakannya sebagai persiapan bagi menghadapi seteru utama iaitu Thailand dan Indonesia.

“Pertemuan menentang Singapura esok, saya masih mengharapkan pemain dapat bermain dengan baik mengikut perancangan supaya misi kami iaitu mengutip tiga mata dalam setiap perlawanan berada di landasan yang tepat,” jelas beliau.

Perlawanan ketiga pusingan round robin akan bersambung esok dengan Pasukan Lelaki akan turun terlebih dahulu jam 3:15 petang (waktu Malaysia) menentang Singapura dan diikuti Pasukan Wanita turun menentang seteru utama, Thailand jam 4:30 petang (waktu Malaysia).