KEPUTUSAN
(tempat ke-7/8)
ARGENTINA………………..6 PAKISTAN………………3
(tempat ke-5/6)
AUSTRALIA………………….1 BELANDA……………….2
ARGENTINA hadir selaku juara bertahan ke Kuala Lumpur tetapi terpaksa berpuas hati pulang dengan kedudukan terbaik pada posisi ketujuh pada kejohanan kali ini – satu pencapaian yang jelas jauh daripada sasaran sebenar mereka.
Pagi ini, juara edisi 2001 dan 2021 itu nampak melepaskan geram membelasah wakil Asia, Pakistan 6-3 dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh-kelapan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Anak didik Juan Gilardi memberikan aksi lebih bertenaga selepas hampa tewas 0-1 kepada Belanda dalam perlawanan klasifikasi tempoh hari dan nampak enggan mahu mengangkat bendera putih sekali lagi.
Apapun sedikit keceriaan buat Pakistan, juara pertama pada 1979, adalah pemain mereka, Murtaza Yaqoob merakamkan jaringan hatrik pada minit ke-12, 26 dan 50.
Argentina mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Tomas Ruiz, minit ke-6, 21, Ramiro Infanzon (m39), Bautista Capurro (m44), Ignacio Persoglia (m50) dan Juan Fernandez (56) sebagai satu bekalan untuk dibawa pulang.

APA KATA MEREKA
Juan Gilardi (ketua jurulatih Argentina)
“Lega dapat menang besar hari ini, tapi masih kecewa kerana objektif kami adalah untuk menyudahkan cabaran pada kedudukan lebih baik. Faktor hilang kasut, kayu hoki dan bagasi serta cuaca yang tidak menentu juga antara faktor kecil yang mengganggu rentak sebenar kami.
Lebih mengecewakan kami kalah kepada Jerman dalam suku akhir. Jika berjaya melepasi halangan itu, kami mungkin berada di separuh akhir atau pun mana tahu, layak ke final sekali lagi.”
Roelant Oltmans (ketua jurulatih Pakistan)
“Hari ini saya tidak gembira dengan pemain melepasi jaringan mudah selepas berjaya membolosi gawang lawan. Saya tidak menyalahkan penjaga gol dan pertahanan saja. Kami ada struktur pertahanan menyeluruh yang turut membabitkan fungsi bahagian tengah dan serangan.
Perlawanan terbaik adalah menentang Belgium kerana tidak melepaskan banyak gol (seri 1-1). Itulah persembahan yang mahu diteruskan untuk masa depan.”
Sementara itu, Belanda mendapat sedikit penawar selepas menewaskan Australia 2-1 dalam penentuan tempat kelima-keenam yang agak seimbang.
Naib juara pada 1985 dan 2009 itu mengesahkan kemenangan menerusi dua jaringan pada setiap babak permainan hasil jaringan Dylan Lucieer pada minit ke-23 dan Casper Van Der Veen, minit ke-45.
Tapi, Australia, yang enggan menyerah mudah berjaya merapatkan jurang gol sumbangan Cooper Burns, dua minit sebelum tamat permainan.