
Australia memberi bayangan awal betapa kehadiran mereka dalam kancah Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC 2023) adalah untuk menjelmakan aksi terbaik – sekali gus cuba mengintai peluang memburu mahkota kejuaraan.
Pandangan ini disuarakan oleh ketua jurulatih, Jay Stacy, yang tidak menafikan pengurusan pasukan berjaya membentuk satu barisan berkualiti bagi menyaingi gergasi dunia lain pada edisi ke-13 yang bermula pada 5 Disember ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Skuad Burras Bawah 21 tahun itu yang tiba di Kuala Lumpur, lewat malam (28 November) tidak membazirkan masa apabila terus turun ke gelanggang bagi latihan pertama, awal pagi Rabu.
Juara JWC 1997 itu menjalani latihan kira-kira sejam bagi mempertajamkan aspek serangan dan juga pertahanan dengan membahagikan pemain kepada dua kumpulan.

“Kami membawa barisan yang penuh berbakat kali ini. Matlamat kami adalah untuk mara lebih jauh pada kejohanan kali ini, seperti juga impian sama pasukan lain di sini.
“Ada kemajuan dapat dilihat selepas kami bertanding di Piala Sultan Johor. Pemain yang dipilih kali ini cukup seimbang pada setiap posisi.
“Mereka juga berbakat dan ini boleh memudahkan tugasan jurulatih dengan bekalan pemain yang gigih, cergas dari segi fizikal serta kekuatan mental,” katanya selepas sesi latihan.
Australia tidak mengadakan sebarang perlawanan persahabatan tambahan sejak tewas kepada Jerman dalam final Kejohanan Piala Sultan Johor, awal November ini.
Terdahulu, ada juga sebahagian daripada skuad 28 pemain negara mengadakan kunjungan ke Eropah , June lalu menentang Jerman, Belgium dan Belanda bagi tujuan pendedahan.
Australia tidak beraksi pada edisi 2021 di India selepas menarik diri gara-gara isu Covid-19 membabitkan syarat perjalanan yang ketat.
Jaguh dari Oceania itu bakal beraksi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina, Chile dan tuan rumah, Malaysia. Perlawanan pertama mereka adalah menentang Argentina pada 5 Disember ini.
Mengenai peluang mereka untuk menjuarai kumpulan, Stacy mengambil sikap merendahkan diri walaupun pemerhati hoki memilih mereka untuk muncul juara.
“Ini satu soalan sukar dijawab. Kami tidak ada peluang bermain dengan Argentina dan juga Chile. Setiap perlawanan adalah berbeza dengan cabaran masing-masing. Kami mempelajari kemampuan pasukan lawan menerusi rakaman video untuk bersedia kali ini,” katanya.
Mengenai Malaysia, Stacy berkata pasukan tuan rumah pastinya sudah memperbaiki diri dan lebih bersedia selepas SOJ.
“Perlawanan ini menarik kerana ia memberi emosi dan motivasi kepada pemain beraksi penuh bersemangat di hadapan penyokong yang ramai. Kami ghairah menunggu perlawanan ini dan menghormati keupayaan milik Malaysia. Kami tetap akan waspada,” katanya.
Beliau juga tidak berasa jadual perlawanan antara Australia menentang Malaysia pada 8 Disember yang dipindahkan lebih awal pada jam 2 petang akan memberi kesan kepada permainan mereka.
“Kami dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di sini kerana pernah bermain beberapa kali di sini. Saya faham kerana ada perlawanan bola sepak penting (final Piala Malaysia) pada malam hari yang sama,” katanya.

Mengenai pasukan mana ada ramuan untuk muncul juara, ketua jurulatih itu berkata sukar baginya memilih kerana pasukan seperti German, India, Argentina, Holland dan Belgium memiliki peluang seimbang mencipta kejayaan.
“Kita juga harus waspada dengan Pakistan yang sudah menunjukkan kemajuan kebelakangan ini. Kami menentang mereka dalam separuh akhir SOJ. Mereka ada barisan kualiti,” katanya.