KEDUDUKAN MATA


IMPIAN skuad negara mahu beraksi dalam suku akhir Kejohanan Piala Dunia Remaja (JWC) berakhir dengan penuh nota sedih, hari ini dan hanya saingan dalam perlawanan klasifikasi saja kini menjadi pertaruhan penyelamat maruah.
Tengah hari ini, anak didik Muhammad Amin Rahim hadir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dibantu sorakan penyokong untuk mencari mata penuh, sebaliknya Australia yang menyudahkan cabaran dengan wajah ceria selepas menang 5-2.

Walaupun Malaysia bangkit semula dengan jaringan dua gol, namun usaha mereka berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan Australia.
Australia berbekal pungutan enam mata muncul naib juara Kumpulan A dan bakal menentang juara Kumpulan B, Perancis Selasa ini.
Bagi skuad ‘Young Tigers’ fokus kini boleh terarah kepada saingan klasifikasi tempat ke-9 sehingga 16 dan lawan mereka nanti adalah Mesir yang menghuni tangga tercorot Kumpulan B.
Australia mengesahkan kemenangan mereka menerusi sumbangan Cooper Burns pada minit ke-2, Jake Lambeth (m-6,28) dan Cambell Geddes (m15, 45).
Gol Malaysia dihasilkan oleh Harris Osman pada minit ke-21 dan Shafiq Ikmal Daniel (m-44).

Kepten skuad negara Fariz Harizan cuba menghalang laluan pemain Australia Cooper Burns dalam saingan terakhir Kumpulan A hari ini. Australia menang 5-2.

APA KATA MEREKA
Muhammad Amin Rahim (ketua jurulatih Malaysia)
“Kita harus menyalahkan diri kerana membiarkan ruang bagi pemain Australia masuk dan mereka mengaut peluang dengan gol pantas. Kami cuba bangkit, khususnya dalam babak kedua tapi sukar kerana cengkaman lawan kuat.
Sekarang biarlah episod saingan suku akhir kita lupakan dan tumpu kepada perlawanan klasifikasi tempat ke-9 sehingga 16 dan cuba cari kedudukan teratas.
Ya, kita bukan pasukan pilihan dari kumpulan ini kerana Argentina dan Australia adalah gergasi dan kita dianggap underdogs.”

Jay Stacy (ketua jurulatih Australia)
Kami sedar perlawanan ini berbaki satu slot lagi ke suku akhir kerana Argentina sudah sahkan status juara kumpulan. Jadi, kami tidak ada pilihan kecuali mencari kemenangan. Malaysia tidak memberi kami laluan mudah dan menekan untuk menghalang usaha kami. Pemain tuan rumah juga ada kemahiran baik. Mereka makin matang dan sudah menunjukkan kemajuan kebelakangan ini.
Selepas ini kami ada satu lagi ranjau sukar menentang Perancis dan saya melihat satu perlawanan menarik dapat disaksikan. Kami seperti lawan juga, ghairah mahu melihat kemaraan lebih jauh dalam kejohanan ini.
Sementara itu, Argentina beraksi seperi satu sesi latihan bagi persiapan mereka ke suku akhir apabila menentang pasukan tercorot, Chile, dengan kemenangan 8-0 dalam saingan terakhir Kumpulan A.
Pencapaian ini menyaksikan juara bertahan itu menjadi pasukan ketiga selepas Perancis dan Jerman yang sudah layak lebih awal daripada Kumpulan B.
Kemenangan ke atas pasukan tetangga dari Amerika Latin itu melonjakkan Argentina selaku juara kumpulan dengan sembilan mata maksimum.

Pasukan yang diberi jolokan ‘Little Lions’ itu mengesahkan mata penuh mereka menerusi jaringan Bautista Capurro yang merakamkan hatrik pada minit ke-33,49 dan 50.
Gol lain adalah sumbangan Ignacio Nardolillo minit ke-17, Ray Matias (m21), Inaki Minadeo (m55), Nicolas Rodriques, (m56) dan Marco Aguirregomez Corta (m60).
APA KATA MEREKA
Juan Gilardi (ketua jurulatih Argentina)
“Cuaca hari ini agak panas tapi kami dapat mengawal dan memberi yang terbaik. Ya, kami juga gembira tidak melepaskan sebarang gol.
Lepas ehat dua hari kami akan turun ke suku akhir menentang Jerman dan saya akur ia akan menjadi ujian sebenar bagi kami.
Apapun kami bersedia kerana dalam suku akhir ini semua pasukan adalah kuat. Jerman bagus, penjaga gol mereka mantap, pertahanan juga sama. Jerman lebih mirip kepada permainan seperti Australia dan kami beresdia dan mahu menang.”

Pemain Argentina berkumpul menyambut jaringan ketika menewaskan Chile 8-0 dalam saingan terakhir Kumpulan A hari ini.

Matias Amoroso (ketua jurulatih Chile)
Cuaca hari ini panas. Pada suku ketiga dan keempat pemain saya agak keletihan dan tumpuan dalam permainan kurang baik.
Tapi, secara keseluruhan setiap pemain saya memberi yang terbaik.
Selepas ini, dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-9 hingga 16 kami menentang Afrika Selatan dan saya menjangka satu saingan sengit. Kami akan cuba untuk mencari jalan menang perlawanan ini.”