
BELGIUM melepaskan geram mereka ke atas Kanada gara-gara gagal layak ke suku akhir dengan kemenangan besar 12-1 dalam saingan klasifikasi, hari ini – sekaligus mencipta rekod jaringan terbesar dalam kejohanan setakat ini.
Habuan bagi anak didik Jeroen Baart adalah turun menentang tuan rumah, Malaysia dalam perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga 12, Rabu ini untuk mengejar posisi terbaik rebut tempat ke-9.
Pasukan tuan rumah turut mara selepas bergelut menewaskan Mesir 4-1 dalam satu lagi perlawanan peringkat sama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada awal pagi hari ini.
Dua lagi pertembungan peringkat klasifikasi tempat ke-9 hingga 16, hari ini, menyaksikan Afrika Selatan menumpaskan Chile 5-1 manakala New Zealand mengatasi Korea Selatan 3-2.

Dalam klasifikasi tempat ke-9 hingga 12 Rabu ini, Afrika Selatan akan bertemu New Zealand manakala empat pasukan yang kalah akan membuat perhitungan nasib mereka dalam penentuan tempat ke 13 hingga 16 pada hari yang sama.
Belgium jelas turun ke gelanggang untuk menang dengan membawa bersama perasaan duka yang masih belum padam selepas seri dengan Pakistan 1 –1 dan gagal ke suku akhir ketika dilabel antara pilihan dalam kejohanan.
Pemainnya pantas mencari penawar dengan berpesta jaringan, khasnya ledakan lapan gol pada suku ketiga dan keempat.
Belgium turut garang apabila menyumbat masuk enam daripada 10 pukulan sudut penalti diperoleh, hari ini.
Hugo Labouchere dan Max Luyten menyerlah untuk pasukan dengan masing-masing menjaringkan empat gol. Labouchere pada minit ke-34, 35, 42 dan 52) dan Luyten (m2,4,10,56).
Lucas Balthazar juga menonjol merakamkan jaringan hatrik pada minit ke-20, 38, 58 manakala satu lagi gol menerusi Thomas Crols, minit ke-53.
APA KATA
Jeroen Baart (ketua jurulatih Belgium)
“Kami masih kecewa sehingga hari ini selepas tewas kepada Pakistan. Saat duka ini adalah amat perit bagi kami dan ia akan kekal untuk satu tempoh yang lama.
Perasaan emotion masih ada tapi rasa tenang sedikit selepas menewaskan Kanada dengan jaringan besar. Kami juga membawa pasukan berkunjung ke Batu Caves, kami naik turun tangga untuk meredakan minda. Ia menyeronokkan.
Fokus kami selepas ini adalah bertemu Malaysia Rabu ini. Kami mahu menang dan ini adalah antara prinsip dalam permainan. Matlamat kami masih sama mengejar posisi tempat ke-9 untuk menamatkan cabaran di tempat teratas daripada lapan pasukan di bawah.”
KEPUTUSAN
(Klasifikasi tempat 9 – 16)
MALAYSIA……………..4 MESIR……………….1
BELGIUM……………..12 KANADA…………….0
AFRIKA SELATAN…….5 CHILE…………………1
KOREA SELATAN……..2 NEW ZEALAND…….3
JADUAL HARI RABU
(Klasifikasi tempat 13-16)
MESIR lwn KANADA (9 pagi)
CHILE lwn KOREA SELATAN ( 11.15 pagi)
(Klasifikasi tempat 9-12)
MALAYSIA lwn BELGIUM (1.30 ptg)
AFRIKA SELATAN lwn NEW ZEALAND ( 4.45 ptg)