Home » News » BELGIUM PASANG IMPIAN MAHU JULANG TROFI
BELGIUM PASANG IMPIAN MAHU JULANG TROFI
SKUAD muda Belgium hadir pada sesi latihan pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Khamis dengan wajah ceria – satu gambaran yang menceritakan betapa yakin mereka sudah bersedia menyahut cabaran dalam Kejohanan Piala Dunia Remaja (JWC 2023).
Pemain dari skuad bergelar Young Red Lions itu turun dari bas mendengar muzik dan ada beberapa lagi rakan sepasukan yang menyanyi bersama-sama, bertenang sambil membawa masuk beg dan peralatan masing-masing ke gelanggang.
Rasa gembira itu turut terpancar pada ketua jurulatih, Jeroen Baart dan juga pegawai pasukan lain selepas tiba dari penerbangan dari Istanbul pada malam Rabu.
“Pemain kami sudah bersedia dan ingin pulang membawa trofi di sini,” kata pengendali pasukan itu secara berseloroh sambil ketawa.
Dia membuat kesimpulan itu mengikut trend pasukan yang muncul naib juara pada 2016 di Lucknow, India dan tempat ke-6 pada edisi 2021 di Bhubaneswar, India.
Ketua jurulatih Belgium, Jeroen Baart
Jeroen yang berusia 39 tahun juga tidak menolak hakikat bahawa pemain Belgium juga mendapat inspirasi daripada skuad senior negara yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2021 di Tokyo.
“Ya, kejayaan ini akan pasti memberi semangat kepada pemain saya mengikut jejak langkah skuad senior. Bagus, mencari gelaran pertama di JWC,” tambahnya.
Apa pun sasaran awal bagi Belgium adalah untuk melepasi saingan kumpulan dan mara ke suku akhir Dari situ mereka akan memikirkan usaha untuk melangkah lebih jauh, mungkin ke final.
Pada edisi kali ini, Belgium diundi dalam Kumpulan D bersama Belanda, New Zealand dan Pakistan. Berpandu kepada kekuatan semasa, mereka mampu menghuni dua tempat teratas.
Skuad Young Red Lions itu akan membuka tirai perlawanan menentang New Zealand pada 6 Disember.
Namun, Jeroen tidak mahu memandang keupayaan lawan lain, termasuk Pakistan yang kini menunjukkan prestasi baik, khususnya ketika beraksi di Piala Sultan Johor (SOJ) di Johor Bahru, awal November.
“Kami hormat Pakistan bimbingan Roelant Oltmans. Mereka sangat laju menyerang dan kami belum pernah bertemu mereka. Juara Eropah, Belanda dan New Zealand juga pasukan yang liat. Tetapi sasaran kami tetap mahu melepasi halangan di sini dan layak ke suku akhir kejohanan,” katanya .
Belgium difahamkan adalah satu pasukan penuh dengan pemain berbakat dan memiliki kualiti untuk tampil menandingi gergasi lain.
Antara pemain tonggak mereka adalah Guilemro Hainaut yang hadir dengan status selaku pemain senior skuad Belgium dan sudah beraksi dalam 10 perlawanan Liga Pro FIH.
Skuad hoki Belgium sebelum memulakan latihan pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.
“Dia adalah ketua pasukan kami dan pemain utama yang boleh membantu kejayaan pasukan, “ kata Jeroen.
Belgium juga turut kehilangan seorang lagi tonggak pasukan iaitu Arno van Dessel yang dipanggil untuk membantu skuad senior bagi saingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Jeroen memilih juara enam kali, Jerman, Australia, India, Belanda dan Argentina sebagai pilihan menjuarai kejohanan. Dia juga turut menyentuh pasukan tuan rumah, Malaysia yang boleh melangkah jauh dengan sorakan penyokong tempatan.
“Semua pasukan ini ada peluang seimbang, tapi saya rasa Jerman adalah pilihan untuk memburu gelaran.
“Memang menarik saingan dalam hoki remaja dan banyak perkara boleh berlaku. Kami tak sabar memulakan cabaran dalam satu kejohanan yang terhebat di Malaysia nanti,” katanya yang menjadi ketua jurulatih sejak 2013.
Dia juga tidak menolak kemampuan Perancis yang juga meningkat dalam tempoh satu dekad lalu. Skuad kerdil itu membuat kejutan mara ke final pada 2013 dan kemudian ke separuh akhir pada 2021.