SUKU AKHIR
SELASA (12 DISEMBER)
ARGENTINA lwn JERMAN (9 PAGI)
BELANDA lwn INDIA (11.15 PAGI)
PERANCIS lwn AUSTRALIA (3.45 PTG)
SEPANYOL lwn PAKISTAN (6 PTG)

KINI, pertarungan sebenar akan bermula membabitkan lapan gergasi yang bakal bercakaran sesama mereka ketika digamit satu impian sama – memburu trofi berprestij dalam kejuaraan Piala Dunia Remaja (JWC).
Namun, sukar mencari garis pemisah pasukan mana memiliki ramuan mujarab untuk menggegar dalam pentas suku akhir yang bermula, esok (Selasa).
Habuan bagi pemenang daripada empat perlawanan yang dilabel bermutu tinggi ini adalah tiket ke separuh akhir pada 14 Disember ini.

Kapten skuad India, Uttam Singh (No.16) menyambut jaringan pasukan dalam saingan terakhir Kumpulan C menentang Kanada , hari ini.

Setiap daripada pencabar ini ada muslihat masing-masing. Bukan saja mereka bertahan dengan mantap tetapi juga rangkaian penggempur yang pantas dan licik ketika menembusi kawasan D lawan.
Kekuatan mental dan tenaga ditonjolkan lapan pasukan teratas ini sepanjang 60 minit permainan dalam saingan peringkat kumpulan amat mengagumkan – sesuatu yang kekurangan pada lapan pasukan yang tersingkir ke perlawanan klasifikasi, termasuk Malaysia.
Paling menjadi tumpuan pastinya pertembungan antara juara bertahan, Argentina dengan juara enam kali, Jerman ketika perlawanan seumpama ini lebih wajar andai dapat disaksikan pada peringkat separuh akhir atau pun final nanti.
Satu lagi saingan suku akhir yang dijangka dramatik membabitkan Sepanyol berentap dengan Pakistan – dua pasukan yang menonjol dalam edisi kali ini dengan corak serangan menghiburkan dalam aksi peringkat kumpulan.
Sepanyol merakamkan jaringan tertinggi dengan ledakan 19 gol dalam Kumpulan C, diikuti Jerman (Kumpulan B) dan India (Kumpulan C) dengan masing-masing 15 gol.

Ketua jurulatih, Rein van Eijk bersama kapten pasukan, Matteo Poljaric.

Dua lagi perlawanan peringkat sama – India melawan Belanda dan Australia bertemu Perancis juga tidak akan menghampakan dengan kedua-dua pasukan cenderung kepada permainan berorentasikan serangan pantas.
Ketua jurulatih Argentina, Juan Gilardi menghormati keupayaan Jerman tapi berkata ini tidak bermakna pemainnya takut kepada gergasi dari Eropah itu.
“Jerman bagus, penjaga gol mereka mantap. Pertahanan mereka juga mantap. Corak permainan mereka lebih mirip kepada Australia. Kami sudah bersedia menghadapi halangan ini.
“Ini adalah ujian sebenar bagi kami dalam usaha mempertahankan gelaran di sini,” katanya yang hadir dengan status selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.
Bekas pakar drag–flick dan pemain pertahanan Argentina itu dibantu oleh Ignacio Ortiz – seorang lagi anggota pasukan skuad senior yang menjaringkan gol ketiga semasa menewaskan Belgium 4-2 dalam final di Brazil, tujuh tahun lalu.
Sementara itu, ketua jurulatih Jerman, Rein van Eijk yang bersikap merendahkan diri selepas setiap perlawanan, kini bernada sama apabila anak didiknya menentang Argentina nanti.
“Apa yang penting kami sudah layak ke suku akhir dan berdepan Argentina. Mereka adalah juara bertahan dan masih mantap seperti dua tahun lalu.

Argentine coach Gilardi and his caprtain

“Ketika ini kami belum memikirkan peluang untuk memburu gelaran di sini tapi mahu memberi tumpuan kepada perlawanan kalah mati menentang Argentina . Ini lebih penting,” katanya.
Tidak dinafikan Jerman tetap menyimpan misi membalas dendam selepas kalah kepada lawan mereka 2-4 dalam final Piala Dunia Remaja 2021 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India.
Jerman adalah pasukan paling berjaya dalam JWC apabila menjulang trofi itu enam kali pada 1982 (Kuala Lumpur), 1985 (Vancouver), 1989 (Ipoh), 1993 (Terrassa, Sepanyol), 2009 (Johor Bahru, Singapore) dan 2013 (New Delhi).
Mereka muncul naib juara pada 1979 (Paris) dan 2021 (Bhubaneswar) manakala mendapat tempat ketiga pada 1997, 2001 dan 2016. Jerman berjaya naik ke podium pada setiap edisi kejohanan sejak 1979 kecuali pada 2005.
Bagi peminat tempatan, mereka juga ghairah mahu melihat kejayaan dua wakil Asia – India dan Pakistan untuk mara ke separuh akhir. Sokongan penonton, khasnya warga Pakistan dan India yang bekerja di Malaysia harus memihak dua pasukan ini.

Roelant Oltman – Pakistan Dutch coach

Ketua jurulatih India, C R Kumar berkata mereka mahu membawa momentum daripada perlawanan terakhir (ketika membelasah Kanada 10-1) ke saingan suku akhir. menentang Belanda.
“Saya tidak peduli siapa lawan kami. Semua pasukan dalam suku akhir hebat-hebat belaka. Kami menjangkakan satu saingan sengit daripada Belanda. India tidak mendapat pendedahan seperti pasukan dari Eropah, tapi saya percaya pemain kami masih boleh mengimbangi cabaran mereka.” katanya.
Pasukan tetangga mereka, Pakistan tidak dinafikan barisan paling maju dalam kejohanan kali ini, termasuk keupayaan mengikat Belanda dan seri 1-1 dengan Belgium untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.
Bagi ketua jurulatih, Roelant Oltmans rasa gembira tidak dapat dihuraikan ketika mereka bukan pilihan untuk layak ke suku akhir.

Argentina Team

“Inilah kali pertama selepas 20 tahun kami berjaya mara ke peringkat lapan terakhir ini. Ia satu perasaan hebat untuk semua. Sepanyol adalah satu lagi pasukan yang meningkat maju dengan tahap permainan tinggi ketika ini.
“Saya ada pemain penuh berbakat dalam pasukan. Kami akan cuba cari ruang untuk melepasi halangan mereka,” kata pengendali berasal dari Belanda itu yang pernah membimbing skuad hoki Malaysia pada 2018.
Andai cuaca ‘bermurah hati’ pada hari perlawanan, peminat hoki tanah air dijangka menjadi saksi kepada satu saingan suku akhir antara yang terbaik pernah ditonton dalam kancah kejohanan hoki lelaki Bawah-21 tahun ini.
Daripada barisan yang layak ke kelompok lapan terakhir pada edisi ke-13 kali ini, empat pasukan – Argentina, Jerman, Australia, India dan Pakistan sudah menikmati detik selaku juara manakala Sepanyol, Belanda dan Perancis masih cuba memburu gelaran pertama sejak 44 tahun lalu.