DEMAM Piala Dunia Remaja (JWC) sudah bermula dan sepanjang tempoh 12 hari berikut, bermula esok (Selasa), Malaysia menjadi tumpuan global selaku tuan rumah buat kali keempat.
Senario kali ini tidak berubah seperti apa pernah kita saksikan pada 2002 apabila Kuala Lumpur dipilih menjadi hos bagi Piala Dunia di laman sendiri di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Skuad senior Jerman muncul juara pada tahun berkenaan dan apakah pasukan remaja mereka yang hadir kali ini dengan barisan terbaik dapat mengikut jejak sama pulang menjulang trofi kejuaraan.
Tidak dapat dinafikan lawan lain seperti Argentina, Australia, Belanda dan India akan bersikap degil untuk memberi laluan mudah, malah ada di kalangan barisan elit itu bertekad menghalang Jerman daripada mendekati hajat besar mereka.
Namun, apa yang menjadi bahan perbualan di kalangan pemerhati dan keluarga hoki di negara ini adalah Jerman ‘’nampak segak’ dengan penampilan penuh yakin, tambahan selepas menjuarai Piala Sultan Johor (SOJC) di Johor Bahru pada 4 November lalu.

Seperti mana disebut oleh ketua jurulatih pasukan remaja Jerman, Rein van Eijk tempoh hari bahawa Malaysia bagai ‘bumi bertuah’ buat mereka. Ia sekadar memberi satu isyarat awal gergasi Eropah itu memasang impian besar mahu melakar satu lagi detik gemilang.
Skuad JWC mereka memperagakan kelibat sang juara apabila memenangi gelaran berprestij itu tiga kali pada 1982 (KL), 1989 (Ipoh) dan 2009 (Johor Bahru).
“Bumi Malaysia amat bertuah bagi kami. Jerman (skuad senior dan remaja) kerap memberi persembahan terbaik di sini dan menang gelaran besar dunia.
“Pemain saya mengerti sejarah pencapaian pasukan negara mereka di Malaysia dan bersedia menyambung usaha baik untuk meraih gelaran kali keempat,” kata Van Eijk selepas sidang media.
Namun, apakah juara bertahan, Argentina akan bersikap menyepi dan membenarkan pihak lawan lain merampas mahkota kejuaraan yang dimenangi di Bhubaneswar, India pada edisi 2021.

Seperti Jerman, barisan bergelar The Los Leoncitos (Little Lions) itu juga ada hajat mahu menjadi juara kali ketiga dalam sejarah penyertaan mereka selepas 2005 (Rotterdam) dan 2021 (Bhubaneswar).
Namun, kunjungan mereka tersentak apabila dipalit saat derita gara-gara kehilangan peralatan sukan dan bagasi selepas tiba di Kuala Lumpur dari Buenos Aires, beberapa hari lalu.
Ketua jurulatih, Juan Ignacio Gilardi akur suasana dalam pasukan agak muram sejak hari berkenaan dan dia sendiri belum pernah berdepan masalah ini sejak 20 tahun menjadi pemain dan jurulatih pasukan.
“Kami sudah membeli kayu hoki baru, kasut astroturf, alat pelindung dan peralatan lain diperlukan. Ia memaksa kami berbelanja besar,” katanya sambil bersenyum.
Gilardi berkata rasa kecamuk dalam minda pemain kini sudah reda dan setiap daripada mereka sudah dapat kembali memberi fokus kepada pertandingan JWC selaku juara bertahan.
Chile menjadi penyelamat apabila bermurah hati untuk meminjamkan kayu hoki dan peralatan lain bagi sesi latihan pertama pasukan tetangga mereka, Argentina.
Chile akan bertemu Malaysia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A pada Selasa ini yang turut membabitkan Argentina dan Australia.

Cerita Argentina hilang bagasi menjadi bahan cerita yang menjadi tarikan di sini dan menenggelamkan seketika perkembangan pasukan lain dalam persiapan terakhir mereka.
Satu lagi pasukan yang harus diberikan perhatian adalah Australia, juara pada 1997 di Milton Keynes, England. Sejak tiba pada 28 November lalu mereka lebih bersikap mendiamkan diri.
Skuad Burras itu tidak beraksi pada edisi 2021 di India selepas menarik diri gara-gara isu Covid-19 membabitkan syarat perjalanan ketat ke destinasi mereka.
Australia adalah pilihan kedua terbaik selepas Jerman untuk menjuarai JWC 2023 di Kuala Lumpur dengan barisan pemain berpengalaman, mahir dan penuh komited.
Seperti disebut ketua jurulatih, Jay Stacy: “Pemain kami berbakat dan memudahkan tugasan jurulatih dengan sifat gigih, cergas dari segi fizikal serta kekuatan mental mengagumkan.”
Belanda yang menjuarai Kejohanan Remaja Eropah adalah satu lagi calon memburu trofi dan pemain bertekad besar mahu menamatkan kemarau 44 tahun tanpa gelaran sejak beraksi di Paris pada 1979.
Anak didik ketua jurulatih, Jese Mahieu menunjukkan kesungguhan untuk memastikan edisi ke-13 di Kuala Lumpur ini akan memihak mereka memenangi gelaran JWC buat julung kali.
Belanda hanya berpuas hati dengan dua pingat perak pada 1985 dan 2009 dan juga mendapat gangsa pada 1979 dan 2013. Di Bhubaneswar pada 2021 mereka mendapat tempat kelima.
Bagaimanapun pula dengan penyudahan barisan dari India sebagai wakil Asia?
Peluang tuan rumah 2021 memang bagus dan mampu menandingi pasukan gergasi lain kerana nyata mereka ada kemampuan dan kualiti jika mahu dibandingkan dengan Korea Selatan, Pakistan atau Malaysia.
“Kami mahu cuba layak ke separuh akhir dengan satu barisan yang cukup bersedia kali ini. Semangat mereka membara,” kata ketua jurulatih India, C R Kumar dalam sidang akhbar pada Ahad.

India juga memasang impian besar mahu memburu gelaran ketiga selepas kejayaan pada 2001 di Hobart dan 2016 selaku tuan rumah di Lucknow.
Perancis juga menjadi sebutan sebagai barisan yang mampu mencipta kejutan seperti dilakukan pada 2013 apabila gah layak ke final sebelum tewas kepada Jerman sebelum menang gangsa selaku pasukan ketiga terbaik pada edisi 2021.
Ketika digamit detik cabaran yang semakin hampir, 16 pasukan yang bakal bertarung di Kuala Lumpur akan menggalas impian dan harapan besar negara masing-masing.
Kita ucapkan selamat berjuang kepada semua pasukan, khasnya Malaysia yang akan diiringi pemain ke-12, iaitu penyokong tempatan, seperti mana diutarakan oleh ketua jurulatih, Muhammad Amin Rahim tempoh hari.
Ya, Young Tigers kita amat memerlukan sorakan padu mereka esok (5 Disember) 8 malam.
Andai skuad remaja negara dapat mara ke suku akhir , ia boleh dianggap satu babak penting yang ditakrif amat terpuji.
Malaysia Boleh!