Hoki 5s Piala Asia Lelaki: Malaysia Buka Kempen Dengan Langkah Kanan

Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan membuka tirai kempen Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Lelaki) di Salalah Oman, hari ini dengan langkah kanan apabila menundukkan tuan rumah, Oman, 10-4.

Perlawanan yang juga merupakan Kelayakan ke Piala Dunia Hoki 5s Lelaki 2024 itu turut menyaksikan salah seorang penjaring hatrik untuk aksi pertama iaitu, Muhammad Muhibuddin Moharam dipilih selaku pemain terbaik perlawanan bertemu Oman.

Aksi sulung Malaysia hari ini juga tidak hanya memperlihatkan Muhammad Muhibuddin Moharam selaku penjaring hatrik namun dua lagi pemain iaitu Mohamad Akhimullah Anuar Esok dan Syarman Mat Tee turut menyumbang hatrik dalam kemenangan perlawanan pembukaan Malaysia.

Bermula dengan aksi separuh masa pertama, Muhammad Muhibuddin Moharam meledak dua gol gerakan padang pada minit ketiga dan kelima untuk Malaysia berada di hadapan namun, Oman bangkit mengejar kedudukan tersebut menerusi dua gol serangan balas pada minit ke-10 dan ke-12 masing-masing menerusi Rashad AL Fazari dan Khalid AL Shaaibi.

Seminit sebelum aksi separuh masa pertama tamat, jaringan hatrik Muhammad Muhibuddin Moharam muncul yang sekaligus membantu Malaysia menutup permainan separuh masa pertama dengan kelebihan satu gol selepas beliau menyempurnakan gol “challenge”.

Bersambung separuh masa kedua, giliran Mohamad Akhimullah Anuar Esok dan Syarman Mat Tee mula mencatat nama selaku penjaring hasil gerakan padang pada minit ke-18 dan 21 untuk Malaysia terus selesa di depan 5-2.

Oman dilihat tidak berputus asa dan terus menggandakan asakan yang akhirnya menyaksikan Aiman Madit menghadiahkan gol ketiga buat Oman pada minit ke-22 selepas kelebihan “challenge” yang dimiliki berjaya diterjemahkan kepada gol.

Malaysia kembali mengatur strategi untuk terus melebarkan jurang kedudukan dan pada minit ke-23, Mohamad Akhimullah Anuar Esok berjaya menyumbat gol keenam Malaysia sebelum jurang kedudukan terus dijarakkan oleh Syarman Mat Tee pada minit ke-25.

Oman terus berusaha untuk mengejar kedudukan yang semakin jauh dan minit ke-26 hasil gerakan padang, Mahmood Shamaiaa Bait menjaringkan gol keempat Oman untuk kedudukan berubah menjadi 7-4.

Tiga minit terakhir sebelum perlawanan tamat, Malaysia menyumbat tiga lagi gol bermula dengan gol Ismail Abu pada minit ke-27, Mohamad Akhimullah Anuar Esok dan Syarman Mat Tee akhirnya meledak hatrik masing-masing pada minti ke-30 untuk kedudukan 10-4 berpihak kepada Malaysia.

Esok (Rabu – 30 Ogos) Malaysia akan turun beraksi dua perlawanan berturut-turut bagi kategori Kumpulan Elite bermula dengan pertemuan dengan Jepun pada jam 5:00 petang, waktu Malaysia diikuti dengan perlawanan menentang Bangladesh pada jam 10:00 malam, waktu Malaysia.