Hoki 5s Piala Asia : Malaysia Ke Penentuan Tempat Ke-3 / Ke-4

Perlawanan separuh akhir Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 (Wanita) di Salalah Oman, yang menemukan Malaysia dengan India berakhir dengan pasukan negara tewas 5-9 kepada lawan mereka dan keputusan tersebut sekaligus menyaksikan Malaysia akan beraksi di penentuan tempat ke-3 dan ke-4.

Malaysia kini masih menanti siapakah lawan yang akan ditemui pada aksi penentuan tempat ke-3 dan ke-4 yang akan berlangsung jam 9:00 malam ini (waktu Malaysia), antara Thailand atau Indonesia dan pemenang tempat ketiga bakal mengiringi dua finalis ke Piala Dunia yang akan berlangsung pada Januari 2024 di Muscat Oman.

Aksi yang berlangsung hari ini menyaksikan Zati Alyani Muhamad Zubir memberikan keceriaan buat kem negara menerusi dua gol awal bermula gol “challenge” pada minti keempat diikuti gol gerakan padang, seminit kemudian.

Bagaimanapun India kembali mengejar dengan dua gol juga menerusi jaringan padang juga gol “challenge” yang disumbangkan oleh Navjot Kaur pada minit ketujuh diikuti Mariana Kujur pada minit kesembilan.

Serangan gol bertali arus terus bersambung kali ini giliran Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri meletakkan Malaysia dihadapan pada mint ke-10 namun beberapa saat kemudian, Navjot Kaur sekali lagi mencetak gol untuk kembali mengikat kedudukan 3-3.

Minit ke-12, India terus menjarakkan kedudukan menerusi gol gerakan padang  Kujur Mariana dan Mahima Choudhary pada minit ke-14 untuk kelebihan memihak India, 5-3 pada aksi separuh masa pertama.

Seminit sejurus separuh masa kedua bersambung, Malaysia kembali mengejar kedudukan selepas kelebihan “challenge” yang dimiliki diterjemahkan kepada jaringan oleh Nur Zafirah Aziz. Bagaimanapun India tidak berdiam dan segera membalas gol tersebut menerusi jaringan padang yang juga gol hatrik Navjot Kaur pada minit ke-17.

Skuad Negara tidak berputus asa serta segera menggandakan asakan dan hasilnya satu lagi kelebihan “challenge” dimiliki, kali ini giliran Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri untuk memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada gol pada minit ke-20.

India bagaimanapun terus mengasak kubu Malaysia untuk mencari kemenangan dan hasilnya mereka menambah tiga lagi gol menerusi dua gol padang Jyoti pada minit ke-21 dan 26 serta Toppo Dipi Monika pada minit ke-22. Keputusan itu menyaksikan India melangkah ke final hasil kemenangan 9-5.